Wednesday 16 November 2011

MPS PEMUSNAH SLOGAN 1MALAYSIA



Oleh : CHANG SHAK HUNG

“AMAT mendukacitakan dan hanya menyusahkan rakyat!” Itu sahaja ungkapan yang mampu dilafazkan oleh pengguna yang menggunakan jalan rosak, serta pembayar cukai jalan yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat yang berbakti kepada negara terhadap negara tetapi tidak mendapat perhatian terhadap aduan mereka.

Aduan berkenaan jalan rosak di kawasan perindustrian, Bandar Kim Fung, Sandakan, yang telah diajukan kepada Majlis Perbandaran Sandakan pada 20 Oktober 2011 dan mendapat maklum-balas daripada Unit Aduan Awam, MPS bahawa permasalahan tersebut telah diajukan kepada Jurutera Perbandaran Kanan.

Sehingga berita ini disiarkan, hampir sebulan permasalahan ini telah diajukan, namun kerja pembaikan masih belum dilakukan!

Pada 25 Oktober 2011, maklum-balas telah diterima menerusi Aduan Awam MPS ke laman FACEBOOK (Chang Shak Hung) bahawa Jurutera Perbandaran Kanan telah memaklumkan bahawa kerja-kerja membaiki jalan tersebut adalah di bawah bidangkuasa pihak kontraktor Pembinaan Kekal Mewah.

Bukan itu sahaja, yang paling tidak masuk akal adalah pihak kontraktor memaklumkan kepada pihak kakitangan di Unit Aduan Awam MPS bahawa syarikat ini masih menunggu peruntukan untuk memperbaiki kerosakan tersebut!

Dalam keadaan yang terdesak, pihak kontraktor sepatutnya menggunakan ‘emergency fund’ yang memang tersedia ada untuk kerja-kerja membaiki jalan yang rosak dan tidak hanya menunggu peruntukan, baru hendak memperbaikinya!

Sampai bila kita perlu diperbodohkan dan dipermainkan sedemikian oleh pihak kerajaan Barisan Nasional? Di manakah peruntukan ADUN yang sepatutnya digunakan untuk keperluan di kawasan ini?

Jalan rosak ini adalah terletak di dalam kawasan DUN Elopura dan begitu dekat dengan pejabat ADUN Elopura itu sendiri. Jangan lupa peruntukan ADUN merupakan titik peluh duit rakyat dan seharusnya disalurkan kembali kepada rakyat.

ADUN yang dipilih cuma sebagai ‘pemegang amanah’ dan seharusnya berkhidmat untuk masyarakat. Gaji Wakil Rakyat juga dibayar oleh rakyat dan kenapa kita dilayan sedemikian selepas Wakil Rakyat memenangi pilihanraya?

Persoalan menarik, mengapa peruntukan tersebut tidak boleh dikeluarkan untuk tujuan pembaikan? Jika mahu mengharapkan kelulusan peruntukan daripada kerajaan, perlu menunggu masa! Berubahlah sikap anda demi rakyat terutamanya pengundi di kawasan anda!

Andalah pemusnah kepada slogan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak; ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan!’

No comments:

Post a Comment