Tuesday 15 November 2011

MUNGKINKAH WUJUD MoU SPRM DENGAN KKLW?



Oleh : MUTALIB M.D

JALINAN kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Sabah Electricity Sdn.Bhd (SESB) yang mematerai MoU untuk mencegah dan membasmi rasuah di Sabah amat dialu-alukan semua pihak, terutama penduduk luar bandar yang menggantungkan harapan kosong kepada Kerajaan Persekutuan sejak 48 tahun lalu.

“Kita bangga dengan kerjsama untuk membanteras rasuah ini dan kalau boleh biarlah dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kerana kita percaya rasuah telah membudaya secara parah di semua peringkat KKLW,” kata Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu.

Menurut Patrick, penafian Menteri KKLW, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berhubung penyelewengan di KKLW sebagaimana laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini adalah amat serius.

Kata Patrick, beliau mengakui anggaran harga yang dibuat Juruperunding KKLW teramat tinggi dan dibimbangi sengaja dilonjakkan untuk tujuan menyalahi undang-undang, tanpa mendapat pandangan pihak ketiga atau professional.

“Bayangkan jika satu sambungan (connector) SESB hanya menelan belanja RM3,000 tetapi telah dinaikkan tanpa alasan munasabah kepada RM12,000 jika dilaksanakan oleh KKLW,” kata Patrick yang menyifatkan pembaziran dana awam secara keterlaluan adalah jenayah kolar putih yang wajib dibasmi sehingga ke akar umbi.

Perkara yang amat memalukan kata Patrick, KKLW masih berdegil menggunakan bateri asid plumbum yang cepat rosak, tidak tahan lama dan berbahaya kepada kanak-kanak demi untuk memastikan semua ‘penjenayah kolar putih’ melindungi ‘cartel’ dan mendapat habuan masing-masing.

Sehubungan itu, kata Patrick, ada baiknya SPRM menempatkan pegawainya di Unit Kontrak dan Perolehan bagi memastikan ‘rasuah’ tidak lagi mengakar budaya di KKLW yang diberi kepercayaan melaksanakan NKRA.

Dalam masa yang sama, Patrick mendesak agar Kerajaan Malaysia menyediakan ‘Kertas Putih’ untuk menjelaskan ‘Skandal Top-Up’ yang berleluasa di KKLW dan semua GLC atau Jabatan di bawah tadbir urusnya kepada para pembayar cukai sebelum rakyat menghukum kerajaan pada PRU-13 yang berada di ambang pintu.

No comments:

Post a Comment