Wednesday 2 November 2011

MUSA GESA SIASAT PUNCA NAHAS



KETUA Menteri, Datuk Seri Musa Aman mahu siasatan menyeluruh mengenai punca perlanggaran kereta api dengan sebuah tangki minyak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.

"Saya bersyukur tidak ada kematian tetapi saya mahu pihak terbabit termasuk Jabatan Keretapi dan Shell Timur menjalankan siasatan terperinci mengenai kemalangan ini," kata beliau.

Musa, yang kini melakukan lawatan kerja di London selama empat hari berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa.

Dalam kemalangan itu, sekurang-kurangnya lapan orang cedera akibat letupan kuat yang disebabkan sebuah kereta api yang dinaiki kira-kira 200 penumpang merempuh sebuah lori tangki membawa 27,000 liter petrol di lintasan kereta api haram berhampiran KM5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, Petagas dekat sini pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata penumpang lain dalam kereta api itu yang dapat menyelamatkan diri dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan.

Beliau juga dilaporkan berkata lori tangki itu sedang menyeberang landasan kereta api untuk menghantar petrol ke sebuah stesen minyak, tetapi terlambat untuk menyeberanginya, mengakibatkan kereta api itu merempuhnya.

Musa juga mahukan pihak berkuasa terbabit meningkatkan langkah-langkah keselamatan di sepanjang laluan melintas kereta api bagi mencegah kemalangan.

"Saya juga berharap mereka yang cedera agar cepat sembuh dan mahu memastikan mereka bahawa kerajaan akan melakukan segala mungkin untuk membantu mangsa berkenaan," kata beliau (BERNAMA).

No comments:

Post a Comment