Tuesday 29 November 2011

NAJIB BERADA DI LANDASAN WAWASAN 2020



BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di landasan untuk membawa Malaysia mencapai Wawasan 2020.

"Beliau (Najib) berusaha keras. Saya tidak boleh kata yang beliau berupaya untuk (membawa negara) mencapai Wawasan 2020 tetapi banyak orang berkata Malaysia sudahpun menjadi sebuah negara maju," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata Najib berdepan ‘kesukaran’ berikutan mempunyai majoriti kecil di Parlimen dan perlu menguruskan krisis.

"Beliau tidak mempunyai majoriti sepertimana yang saya ada. Saya mempunyai (lebih besar) majoriti yang membolehkan saya mengendalikan pembangkang. Jadi, beliau berdepan kesukaran," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis makan tengah hari untuk perwakilan yang menghadiri Forum Antarabangsa bertema ‘Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global’ sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.

Terdahulu, semasa merasmikan forum itu, Najib secara berseloroh berkata "Saya beritahu Dr Mahathir 'anda lakukan bahagian mudah, anda lakukan bahagian ‘apa’, tetapi saya perlu lakukan bahagian 'bagaimana'."

Mengenai Umno, Dr Mahathir berkata parti itu semakin berkembang maju dan "jauh lebih baik daripada pada 2008".

"Pada (pilihan raya umum) 2008, saya tahu banyak anggota Umno mengundi pembangkang bukan kerana mereka "kurang sayangkan Umno" tetapi mereka tidak sukakan kepimpinan pada masa itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir menggesa semua negara bersiap sedia menangani krisis global yang ‘berjangkit’ akibat globalisasi.

"Hakikat yang kita perlu terima ialah kita tidak lagi boleh mengasingkan diri kita daripada apa yang berlaku di seluruh dunia.

"Malahan, jika kita kaji apa yang belaku di seluruh dunia dan mengandaikan apa yang berlaku di seluruh dunia juga akan berlaku di negara kita, dan kita lihat bagaimana masalah itu ditangani, dengan itu kita boleh lakukan perubahan yang sama di negara kita untuk membendung sebarang pemberontakan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pemulihan yang serupa mungkin tidak sesuai untuk setiap negara dalam menangani krisis global berikutan persekitaran berbeza.

"Anda perlu sesuaikan diri anda dengan perubahan persekitaran. Ia bergantung kepada negara anda.

"Malaysia cuba melakukan banyak transformasi. Saya berharap kerajaan akan berjaya dalam mentransformasikan ekonomi dan masyarakatnya sendiri. Saya harap dengan berbuat demikian, mereka akan terus mendapat sokongan rakyat dan negara kekal makmur," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment