Thursday 10 November 2011

NANAS MAMPU BERI HASIL LUMAYAN


BUAH TANGAN...Mariati menyampaikan buah tangan kepada Azizah sebagai tanda terima kasih.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

PERUSAHAAN nanas berupaya dibangunkan sebagai satu pelaburan yang memberi pulangan yang baik kepada penduduk kampung.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun berkata nanas mempunyai ruang pasaran yang luas di negara ini kerana industri nanas tempatan menguasai sepenuhnya pasaran domestik.

“Pasaran antarabangsa bagi nanas Malaysia pula telah lama wujud. Peluang untuk membesarkan lagi syer pasaran yang sedia ada masih terbuka luas, selaras dengan perkembangan perdagangan buah-buahan segar, buah-buahan proses dan jus dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Fiesta Nenas di Kampung Takuli Beaufort anjuran Pergerakkan Wanita UMNO Daerah Mengundi Takuli dengan Kerjasama JKKK Kg Takuli, baru-baru ini.

Azizah yang juga Adun Klias menyeru penduduk mengambil kesempatan dari hasil bumi bertuah ini mengusahakan tanaman nanas dan berusaha mempelbagaikan produk nanas bagi meningkatkan daya saing.

“Produk nanas perlu dipelbagikan dalam bentuk-bentuk lain dari kebiasaan seperti mempelbagaikan jenis masakan, jus, biskut, jeruk dan sebagainya,” katanya.

“Semoga penanaman hasil tani nanas ini giat diusahakan, selain untuk menjana pendapatan keluarga, diharapkan akan dapat menjadi produk ekonomi Beaufort yang masyhur kelak,” katanya.

Menyentuh mengenai program itu Azizah berkata kerjasama yang padu di kalangan penduduk dapat meningkatkan semangat muafakat dalam suasana yang muhibah.

“Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Kita perlulah sepakat dalam menjalankan sesuatu program kerana Muafakat membawa Berkat. Dalam apa juga keadaan, penduduk kampung perlulah mengutamkan kesepakatan, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,” katanya.

MASAKAN...Azizah menyaksikan demonstrasi masakan nanas.

BERTUAH...Azizah menyampaikan barangan elektrik kepada pengunjung bertuah.

Sementara itu pengerusi penganjur Hajah Mariati Abdullah berkata program itu julung kalinya diadakan di kampung itu.

Beliau berkata sempena program itu pelbagai acara telah diadakanPertandingan memasak kategori biskut nanas, lauk pauk nanas dan jus nanas, ratu kanak-kanak, tarik tali dan cabutan tiket bertuah.

"Selain itu pengunjung juga dapat menyaksikan demonstrasi masakan nanas oleh ahli Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Hajah Nora yang juga pemilik Restoran Seri Pinang Kota Kinabalu,” katanya.

Hadir sama Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias, Saidin Musi; Ketua Daarah Mengundi Takuli, Nafsin Aliamat; WKAN Takuli, Onis Ekun; Ketua Kampung Takuli, Binsin Alibasah; Ketua Kampung Kayu Junseb Ojeh; Pengerusi JKKK Kg Takuli, Yusuf Sabinal.

No comments:

Post a Comment