Sunday 13 November 2011

PAIRIN JANGAN TUDUH MELULU



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

KENYATAAN Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang melemparkan tuduhan liar terhadap pemandu lori tangki sebagai punca nahas pelanggaran keretapi di Kepayan, pada 31 Oktober lalu diselar banyak pihak.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata, sikap yang ditunjukkan oleh Pairin cukup memalukan apatah lagi beliau merupakan seorang yang berkelulusan undang-undang.

“Orang ni berkelulusan undang-undang, tapi caranya berfikir seolah-olah mereka yang tidak berpendidikan,” selarnya.

Menurutnya, Pairin perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan terperinci dan membenarkan mahkamah menentukan kedudukan serta kesalahan dan bukannya membuat tuduhan melulu.

“Bagilah kepada pihak berkuasa buat siasatan rapi. Lepas itu, biar mahkamah yang putuskan semua. Janganlah memandai nak menghukum seseorang tanpa ada kebenaran,” katanya ketika ditemui selepas sidang media dan taklimat pilihanraya PAS Sabah.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa nahas tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu lori tangki minyak itu.

Hamzah juga membidas sikap para pemimpin Barisan Nasional yang cepat melatah apabila sesuatu malapetaka atau musibah menimpa rakyat biasa. Sikap suka menunding jari kepada orang lain juga menjadi amalan tradisi pemimpin UMNO/ BN.

“UMNO/ BN ini jangan cepat sangat nak melatah dan tunding jari salahkan orang lain. Bila kecuaian itu berlaku akibat kesalahan mereka, tidak pula berani nak bercakap,” katanya.

No comments:

Post a Comment