Wednesday 9 November 2011

PAS AGIH DAGING KORBAN DI BATU SAPI


Oleh : KRANGKANG BATRUSI

SERAMAI lebih 50 keluarga di Lupak Meluas, Sandakan telah menerima sumbangan daging korban daripada PAS Batu Sapi yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Haji Hamzah Abdullah sempena Aidil Adha kali ini.

Sumbangan itu merupakan julung kali diterima oleh mereka memandangkan tiada satu pihak pun yang tampil sebelum ini untuk mengambil inisiatif yang sama.

Berucap sebelum menyampaikan sumbangan, Hamzah menegaskan bahawa PAS bersama-sama penduduk kampung hendaklah sentiasa sanggup berkorban untuk sama-sama berjuang mempertahankan kampung daripada dirobohkan; kerana bumi ini adalah milik Allah, bukan pemimpin. Pemimpin sepatutnya membela rakyat dan bukannya menyalahgunakan amanah yang diberi oleh Allah itu.

“Sebagai pemimpin, kita kena tadbir kawasan kita dengan adil. Seperti halnya dengan PAS yang menawarkan keadilan undtuk semua. Tidak kira siapa pun dia, apa pun fahaman politiknya, PAS tetap akan memberikan keadilan,” kata Hamzah.

“Tetapi pemimpin yang ada sekarang hanya mengutamakan kepentingan diri dan kroni. Buktinya cukup ramai rakyat yang tertindas seperti di Kg. Lupak Meluas ini. Diri dan anak bini (isteri) mereka hidup senang, sedangkan rakyat tertindas. Inilah keadilan yang dibawa oleh Barisan Nasional,” tambah Hamzah lagi yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua penduduk Batu Sapi khususnya penduduk Kg. Lupak Meluas. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh penduduk Batu Sapi kepada PAS untuk membela nasib mereka. Semoga pada Pilihanraya Umum akan datang, pengundi Batu Sapi dapat menolak Barisan Nasional yang sudah cukup lama menganiaya mereka.

Terdahulu, pada sebelah paginya Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Batu Sapi telah bergotong royong mengadakan majlis korban di kawasan berhampiran yang disertai oleh penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment