Friday 11 November 2011

PAS SEMAKIN POPULAR DI KALANGAN BELIA



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

KEUNIKAN negeri Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan suku merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Faktor georafi dan demografi yang timbul tidak sama sekali mematahkan semangat Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) untuk bergiat cergas dan aktif di tengah-tengah lautan manusia.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar sisipan) berkata, PAS sudah mula dikenali oleh semua lapisan masyarakat Sabah tanpa mengira kaum dan keturunan.

“PAS sudah mula diminati oleh golongan remaja dan anak muda. Masuklah ke kampung-kampung sejauh pedalaman di Keningau, PAS sudah mula dibicarakan di bibir rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, pendedahan isu penjualan pulau Sabah yang didedahkan oleh PAS baru-baru ini telah mula membuka mata masyarakat Sabah yang sudah mula sedar peranan PAS yang dibawa hanyalah untuk kemudahan dan kemajuan rakyat.

PAS Sabah terutama katanya, bukan lagi hanya berkisar dipepenjuru masjid dan surau serta di sebalik dinding-dinding konkrit, malah sudah menjangkaui masa dan setiap penjuru alam di Sabah.

“Kita tidak sekadar mampu kendali program-program keagamaan sahaja. PAS sudah tembusi masjid dan surau. PAS juga telah berjaya menguasai setiap sempadan negeri Sabah,” dakwanya ketika ditemui di Pejabat Pemuda PAS Sabah.

Ketika ditanya mengenai kemampuan Pemuda PAS untuk menjadi teras dan keutamaan suara rakyat, beliau menjawab bahawa PAS Sabah sudah bersedia untuk mewakili golongan sasar seperti golongan belia dan anak muda juga termasuk dengan mana-mana kaum sebagai generasi pelapis bagi mengetengahkan isu dan rintihan mereka.

“PAS Sabah akan menjadi dominan dan penyebar rintihan mereka. Sudah lama mereka ini disisihkan oleh pembangunan Barisan Nasional tanpa kerelaan mereka. Kita mampu membawa suara rakyat ke persada politik. PAS bukan politik semata, kerana lahirnya PAS adalah mewakili suara dakwah dan tarbiyah,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapatnya unsur fitnah yang dibawa golongan tertentu yang berasa terancam setelah melihat kemajuan perjuangan PAS di bumi Sabah.

“Saya memperingatkan bahawa masyarakat Sabah supaya jangan mudah untuk mempercayai berita-berita negatif terhadap PAS di sini. Mereka merasakan diri sudah terancam kuasanya apabila berhadapan dengan PAS,” katanya.

No comments:

Post a Comment