Sunday 13 November 2011

PASTI BENTENG MELAWAN GEJALA SOSIAL.



Oleh : KRANGKANG BATRUSI

PUSAT Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan benteng asas kepada anak-anak bagi melawan gejala sosial yang semakin menggila saat ini, tegas Haji Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah ketika merasmikan Majlis Konvokesyen PASTI Zon Sandakan kali ke 22 di Dewan Besar, Institut Latihan Perindustrian hari ini.

“Ketika ini terlalu banyak gejala sosial yang menyerang anak-anak kita khususnya remaja. Di Sandakan ini sahaja sudah mencatatkan satu kes buang bayi di Pusat Membeli-belah Gentingmas pada Ramadhan yang lalu. Sementara itu, baru-baru ini ada kes sekumpulan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini bergaduh sesama sendiri,” kata Hj Hamzah.

”Apa akan jadi kepada anak-anak kita jika terus berada dalam sistem pendidikan negara yang tidak betul ini? Selama lebih 50 tahun negara merdeka namun gejala sosial remaja semakin hari semakin menjadi-jadi. Justeru PASTI melalui Dewan Pemuda PAS tampil memberikan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini dengan menawarkan Islam sebagai asas pendidikan,” tegas Hj Hamzah lagi.

Hamzah juga memberi jaminan bahawa institusi pendidikan yang diusahakan PAS seperti PASTI di Zon Sandakan ini akan terus berkembang seperti yang berlaku di Kedah dan Kelantan. Melalui PASTI, akan dilahirkan Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam dan akhirnya akan ditubuhkan Universiti Islam di bumi Sandakan ini.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak takut untuk menyokong PASTI walaupun PASTI adalah salah satu program PAS.

“Di PASTI, anak-anak diajar untuk mengenal dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup selaras dengan ajaran Islam. Tidak ada agenda tersembuyi. Yakinlah untuk terus menyokong PASTI,” tambah Hamzah.

Dalam majlis tersebut, seramai 217 orang graduan PASTI telah menerima Sijil Konvokesyen yang disampaikan oleh Hj Hamzah Abdullah yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi. Beberapa anugerah lain turut disampaikan seperti Anugerah Murid Cemerlang, Anugerah Cemerlang PMR Alumni PASTI, Anugerah Ibu Bapa Prihatin, Anugerah Khas JIBG dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment