Sunday 6 November 2011

PELAJARAN ASET KEHIDUPAN CEMERLANG



TERIMA….. Kelihatan Radin menerima cenderahati dari Pengetua SMK Entabuan, manakala kiri sekali Steven Jimin YDP PIBG SMK Entabuan.

Oleh: SIMON MAMAT

DALAM menentukan kecemerlangan penghidupan, seseorang itu mestilah mempunyai pelajaran yang secukupnya kerana ilmu itu sangat penting untuk menentukan pencapaian halatuju, agar mereka sampai ke destinasi yang dihajati, tanpa menempuh pelbagai rintangan.

Demikian dinyatakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh, ketika merasmikan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2011 di SMK Entabuan, Tenom, baru-baru ini.

Tegas Radin, sebaliknya jika seseorang yang tidak memiliki pelajaran, sudah tentulah masa hadapannya menjadi gelap kerana hilang halatuju dan menjadi masyarakat yang tidak mempunyai apa-apa sandaran hidup, malah kemungkinan akan merasa diri mereka terpinggir.

Beliau yang merupakan Adun Melalap, seterusnya berkata, dalam era globalisasi ini, menerokai ilmu pendidikan yang lebih tinggi merupakan amalan yang sebaik-baiknya, demi untuk mencapai kecemerlangan diri; demi jaminan kehidupan jangka panjang yang lebih selesa.

“Ilmu pendidikan itu sangat penting dimiliki oleh setiap orang, maka kita amat bersyukur pada masa sekarang berbanding masa lalu kerana ketika itu kita tidak memiliki kemudahan berbanding sekarang. Kini kita dibantu dengan kemudahan yang canggih. Terpulanglah kepada kita menggunakan dengan sebaik-baiknya,” tegas Radin.

Radin menekankan bahawa Kerajaan juga menyedari betapa pentingnya seseorang itu harus memiliki pelajaran, maka dengan itu kerajaan banyak berusaha membantu para pelajar supaya dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Para pelajar mestilah mempunyai jati diri, lebih tekun belajar bagi meneruskan impian mereka kerana pelajaran adalah aset untuk mententukan hidup di masa hadapan," tambahnya lagi.

Radin turut berterimakasih kepada pihak SMK Entabuan yang diketuai oleh Pengetuanya Sunthararajoo A/L Renagasamay kerana mengadakan majlis seperti itu yang akan memberi suntikan semangat juang kepada para pelajar agar terus bersaing menerokai bidang tersebut.

Turut hadir dimajlis itu, Pengetua sekolah SM Entabuan Sunthararajoo A/L Renagasamay; YDP. PIBG Steven Jimin; Pegawai-Pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta ibubapa pelajar.

No comments:

Post a Comment