Saturday 5 November 2011

PENDIDIKAN KHAS MANIFESTASI PENTING



Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Elopura Au Kam Wah berkata program pendidikan formal yang diberikan oleh kerajaan kepada kanak-kanak berkeperluan khas seperti yang terdapat di sekolah ini merupakan manifestasi keyakinan kerajaan bahawa setiap warga Malaysia sebenarnya mempunyai keistimewaan dan bakat sendiri.

Katanya, keistimewaan dan bakat ini perlu digilap dan dalam konteks kanak-kanak berkeperluan khas ini pendekatan dan gerak kerja penggilapan bakat itu dilaksanakan dengan kaedah yang khas juga.

Golongan kanak-kanak ini diharap akan dapat sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara atau setidak-tidaknya akan hidup berdikari dan boleh bermasyarakat.

Au berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Graduasi Pendidikan Khas Zon Sandakan Tahun 2011, di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib III, Sandakan, kelmarin.

Beliau menambah majlis graduasi ini antara pemangkin kepada keyakinan masyarakat bahawa murid berkeperluan khas juga tidak ketinggalan bersaing dalam bidang akademik, sukan dan ko-kurikulum.

Buktinya tambah Au, ramai di kalangan anak-anak berjaya dalam bidang akademik, oleh yang demikian, sifat merendah dan memandang remeh golongan ini seharusnya dibuang jauh dari minda seluruh masyarakat.

“Saya amat menyanjung tinggi kesungguhan dan ketabahan guru-guru pendidik khas dalam usaha meningkatkan kemahiran murid-murid agar mereka mampu untuk mengurus diri serta dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran pembangunan negara yang serba mencabar ini.

“Anak-anak istimewa ini adalah amanah yang dipertanggunjawabkan kepada kita untuk mendidik supaya menjadi insan yang boleh berdikari sendiri dan tuntutan ini memerlukan adunan yang cukup padu antara pihak kerajaan, sekolah dan masayarakat,” ujar Au lagi.

Dalam konteks ini, Au juga berharap agar para guru pendidikan khas, akan terus menunjukkan komitmen yang tinggi terutamanya dalam mendidik murid-murid istimewa.

Walaupun terpaksa mengetepikan diri agar kita sama-sama dapat memastikan visi dan misi pendidikan untuk semua tercapai dengan jayanya dan Au yakin tugas ini dapat dilaksanakan dengan baik dan akan menjadi nilai tambah kepada usaha memartabatkan profesion perguruan.

Program yang diadakan di Dewan Serbaguna SK Anib III itu telah dihadiri lebih 250 orang murid termasuk para ibubapa setempat dan para pegawai Pelajaran Daerah Beluran, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan.

No comments:

Post a Comment