Friday 4 November 2011

PENDIDIKAN LAHIRKAN GENERASI CEMERLANG



MERIAH…Jamawi disambut begitu meriah oleh penduduk setempat sejurus tiba untuk merasmikan majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PERSEPSI pelajar di kawasan luar bandar sukar untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik perlu dihakis kerana lokaliti sekolah faktor penentu, sebaliknya bergantung kepada usaha, kegigihan serta komitmen semua pihak bagi mempastikan kecermelangan dapat dicapai sepenuhnya.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, walaupun dari segi kemudahan asas sekolah di luar bandar agak ketinggalan dengan sekolah di kawasan Bandar, namun bukanlah boleh dijadikan alasan kenapa pencapaian akademik pelajar di luar bandar sukar dicapai, terutama sekiranya pelajar dan pendidik berusaha sepenuhnya untuk mencipta kecemerlangan.

Menurut Jamawi, kerajaan akan terus menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama tanpa batasan di bandar dan luar bandar dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi muda berpendidikan tinggi, selaras dengan matlamat mencapai status negara maju menjelang 2020 .

Beliau berkata, negara amat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai industri untuk bersaing dengan negara maju lain.

''Kemajuan dan kemakmuran negara amat penting agar kesejahteraan generasi kita yang akan datang terjamin, justeru bidang pendidikan merupakan perkara penting yang terus diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Tambah Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom, pembangunan modal insan yang holistik memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak dan kerajaan mahu membangunkan dan menghasilkan modal insan yang berilmu pengetahuan; berinovatif dan berkemahiran tinggi untuk menjadikan negara berdaya saing pada era globalisasi.

BINCANG..Jamawi mengambil peluang untuk bertukar tukar fikiran dan pendapat dengan ibubapa yang hadir ke majlis tersebut.

TERBAIK…Jamawi ketika menyampaikan tokoh pelajar terbaik kepada adik Kavlyn Mikha Somiun pada majlis tersebut.

DORONGAN…Jamawi mengambil peluang memberikan dorongan dan motivasi kepada pelajar di sekolah tersebut.

TETAMU….Antara guru guru dan pemimpin masyarakat tempatan yang hadir ke majlis tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Kebangsaan Kuala Tomani dekat sini, pagi kelmarin.

Jamawi menambah, kerajaan sentiasa menggalakkan usaha serta langkah-langkah yang diambil oleh mana-mana pihak yang dapat membantu membangunkan dan menghasilkan modal insan berilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam bidang-bidang kritikal.

''Bagi pelajar luar bandar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, mereka masih boleh meneruskan pengajian menerusi pinjaman agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Yayasan Sabah dan lain-lain jabatan serta agensi kerajaan kerana kerajaan mahu mereka keluar dari kepompong kemiskinan dan mennaiktaraf kehidupan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Jamawi berharap pelajar, guru-guru serta ibubapa di kawasan luar bandar perlu sentiasa mempertingkatkan iltizam untuk memajukan sektor pendidikan; yang dilihat sebagai agen pembawa perubahan pembangunan masa depan kepada keluarga, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment