Saturday 19 November 2011

PENYELEWENGAN PPD DI PEKAN KIANGPAU?



Saudara Pengarang,

SALAM 1Malaysia, 1Makmal. Surat terbuka ini merupakan sambungan daripada surat saya bertajuk ‘Makmal Komputer Vs Gajah Putih?’ yang disiarkan di Sabahkini.net pada 24 Oktober 2011.

Tidak perlulah diheboh-heboh sehingga mahu membuat laporan Polis terhadap saya yang membongkar penyelewengan ‘Makmal Komputer Vs Gajah Putih’ di Semporna. Tidak perlulah cari siapa yang membongkarnya? Untuk apa? Untuk kamu rasuahkan mulutnya supaya tidak membongkar lagi? Atau untuk kamu bunuh (seperti ugutan Arung Palau) supaya kamu berleluasa menyeleweng lagi?

Saya dengar khabar, sehingga ada orang yang diherat ke Balai Polis Semporna disebabkan nama saya adalah hampir sama dengan nama beliau. Dikhabarkan mereka ‘DIPAKSA’ dan ‘DIUGUT’ oleh beberapa Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Semporna untuk membuat laporan Polis, bahawa kononnya nama mereka itu digunakan untuk memfitnah, walhal mereka ‘DIUGUT’ sekali lagi untuk tidak diberikan sebarang ‘Tawaran Kerja Tender Kantin’ Pejabat Pelajaran Daerah Semporna jika mereka tidak membuat laporan.

Mereka juga diugut kononnya atas arahan Pengarah Pelajaran Sabah. Apa ada pada nama tersebut? Adakah nama tersebut sama dengan nama yang terdapat di dalam Kad Pengenalannya atau nombor kad pengenalanya adalah sama?

Kaedah ini biasa digunakan oleh Rakyat Malaysia untuk mengenal pasti pemilik tubuh tersebut dan tidak seperti di negara asing yang hanya menggunakan nama timangan untuk pengenalan diri.

Undang-undang di Malaysia terdapat akta yang digubal Oleh Kerajaan Malaysia bagi melindungi pemberi maklumat iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Adakah Ini ‘FITNAH’? Ini bukan fitnah kerana pendedahan tabiat yang merugikan anak bangsa, penyeleweng-penyeleweng inilah yang dipanggil ‘Mandaliar’ dan ‘Yakjuj-Makjuj’ yang melatah di akhir zaman, merosakkan institusi pendidikan yang dipandang mulia sehingga pegawai atasan (PPD) menerima nasihat dari Pelaku-Pelaku Rasuah agar sanggup menuduh kakitangannya sendiri; yang dikhabarkan sanak-saudaranya (anak bekas guru yang pernah berbakti di daerah tersebut) membuat pembongkaran penyelewengan ini.

Jika kakitangan PPD tersebut membongkar penyelewengan tersebut, adakah dia bersalah atau para penyeleweng yang diagung-agungkan sebagai ‘Hero Ketamudunan Sejagat’ yang berpura-pura teraniaya itu. Siapa sebenarnya yang teraniaya dan siapa pula yang menganiaya?

Bagaimanapun, secara peribadi saya memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa ugutan para penyeleweng, sehingga ada yang diheret ke Balai Polis dan diugut atau dipaksa mengaku bertanggungjawab; menghadapi soal siasat yang merumitkan mereka dan keluarga mereka. Ingatlah, perkara yang anda tidak buat, anda tidak perlu mengaku dan berasa takut di atas pendedahan saya ini.

Paling malang adalah anak-anak saya di Semporna yang hanya mempunyai makmal komputer cantik dan peralatan yang canggih, tetapi malang tidak dapat mengenal apa itu computer kerana seperti TV di rumah? Apakah fungsinya seperti mesin taip? Apa itu tetikus? Apakah itu yang menyerupai kotak?

Jika ibu-bapanya berkemampuan seperti anak-anak guru, kontraktor, polis, jururawat dan yang mempunyai wang; mereka tidak menghadapi masalah untuk memiliki komputer, lap top dan gajet yang serba canggih.

Tetapi anak-anak saya yang tinggal di pulau hanya mengharapkan makmal komputer SK Tongkalloh berfungsi, semata-mata untuk melihat kecanggihan yang kecapi warga Malaysia di daerah lain, serta anak-anak di pekan ‘Kiangpau’ Semporna yang sudah mahir dan lali dengan kecanggihan komputer.

Harapan kewujudan makmal komputer sekolah tersebut di Kampung Tongkalloh untuk sama-sama menikmati kemajuan negara terus pudar dan hampa apabila projek makmal komputer sekolah ini hanya sebagai lubuk mendapatkan kesenangan para Penyeleweng; sedangkan anak-anak saya yang sepatutnya layak mendapatkan limpahan kemajuan negara terus diabaikan.

Apakah dosa anak-anak saya diperlakukan seperti anak-anak PATI? sedangkan anak-anak PATI di PPD Semporna; hidup, makan, tidur dan berak dengan kecanggihan ICT.

Betapa gembiranya anak-anak pulau Sumandi yang jauh nun di tengah samudera bila melihat kotak-kotak komputer dipunggah dari bot laju ke makmal komputer sekolah mereka yang tersergam indah.

Ada yang berkata, "Apa yang macam TV itu?" Ada pula yang berkata, tidak payah lagi pergi Semporna untuk melihat komputer. Tetapi akhirnya, angan-angan mereka hanya seperti angan-angan Mat Jenin.

Apakah perasaan anda jika itu adalah anak-anak anda yang menelefon dari Kolej dan Universiti memaklumkan perlu komputer atau lap top untuk menyiapkan assigment? Apa reaksi anda? Sanggup berhutang untuk membelikan komputer? Sanggupkah berurusan dengan KWSP untuk pengeluaran wang membeli Lap top? Sanggupkah bersesak-sesak di PC Fair untuk mendapatkan lap top?

Tetapi kenapa penjawat awam tidak sanggup melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggung jawabkan (punca rezeki yang diperolehi dari amanah ini); sebaliknya menyeleweng dan mendapatkan habuan yang pastinya hasil penderitaan anak-anak SK Pulau Sumandi, seterusnya berpura-pura sebagai penjawat awam yang bersih, cekap dan amanah.

Rentetan dari pendedahan ini, saya berharap kakitangan PPD Semporna berusaha untuk menguruskan makmal komputer yang indah ini agar boleh digunakan oleh anak-anak di daerah Semporna; terutama sekali anak-anak kepada ‘Bapa Malang’ pada sesi persekolahan tahun 2012 yang tidak lama lagi akan bermula.

Walaupun Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Projek Makmal Komputer Sekolah di Sabah ‘GAGAL’, tetapi dengan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada penjawat awam; sila laksanakanlah sebaik mungkin kerana sebagai pembayar cukai, kami sanggup membayar lebih asalkan nikmat bayaran cukai tersebut dapat juga dinikmati oleh anak-anak kami.

Dengan kehadiran Pengarah Pelajaran Sabah ke daerah Semporna baru-baru ini, saya dan anak-anak malang berharap agar beliau telah memberi peringatan kepada semua kakitangan Jabatan Pelajaran supaya menumpukan tugas masing-masing kepada mendidik dan melahirkan generasi cemerlang di daerah Semporna; seterusnya memberi amaran kepada Kakitangan Jabatan Pelajaran agar tidak terlibat dengan sebarang penyelewengan dan perilaku di luar bidang tugas dan amanah yang dipertanggung jawabkan, agar tidak mewujudkan ruang dan peluang kepada anasir penyelewengan di kalangan masyarakat pendidik yang menjalankan tugas paling mulia.

Kita serahkan sahaja segala penyelewengan yang berlaku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan kerana dua laporan telah dikemukakan secara rasmi kepada SPRM Negeri Sabah berhubung penyelewengan pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Semporna dalam sebutharga 15 makmal komputer di daerah Semporna tahun 2010.

Bak kata pepatah seorang kakitangan PPD SEMPORNA dalam laman sosialnya (Muka Buku) ‘Off Rekod’

Salam 1Makmal, ‘Anak-Anak Didahulukan, Penyelewengan Dibenteras Habis-Habisan’.

Salam Hormat,

BAPA MALANG

No comments:

Post a Comment