Monday 14 November 2011

PERSIDANGAN WANITA BERWIBAWA DI BEAUFORT



Oleh : ABU BAKAR ESAH

JABATAN Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah akan mengadakan Persidangan Wanita Berwibawa (PWB) sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah 2011 di Hotel River Park Beaufort pada 17 November ini.

Pengarah JHEWA, Datuk Siti Sapoo Ahok berkata program sehari yang mendapat kerjasama SWEPA, PEWANIS dan MPWK P.178 Beaufort serta Pejabat Daerah Beaufort itu bermula jam 7.30 pagi dan akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah YB Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun.

Beliau berkata antara lain objektif persidangan ini adalah untuk menambah pengetahuan peserta melalui pengalaman tokoh-tokoh wanita yang dinamik yang telah melakar kejayaan dan mencapai kedudukan yang tinggi di peringkat membuat keputusan.

Siti Sapoo yang juga pengerusi bersama program itu berkata kumpulan sasar persidangan itu termasuklah pemimpin-pemimpin wanita dalam politik, pengurusan awam dan perniagaan serta badan-badan NGOs.

”Program ini adalah kesinambungan daripada persidangan yang diadakan di Kota Kinabalu pada 2009 yang diperluaskan ke Peringkat Wilayah atau Bahagian dimana pada tahun 2010 kita telah mengadakannya di Kudat dengan kehadiran seramai 200 peserta ,” katanya.

Katanya tema dan konsep persidangan itu dikekalkan seperti program pada tahun sebelumnya

”Pihak penganjur masih mengekalkan tema yang sama iaitu Menjiwai Saripati Wanita Berwibawa dan konsepnya juga tidak berubah iaitu mengadakan sesi ceramah dan perkongsian pengalaman melalui sesi forum.

Siti Sapoo memberitahu penceramah yang diundang pada persidangan itu ialah Datuk Christine Tibok Vanhouten, Datuk Noni J. Said dan Puan Dayang Hajah Khatijah Datu Haji Bachtiyal.

”Bagi sesi perkongsian pengalaman untuk forum pula panel yang dijemput adalah pegawai-pegawai wanita kanan kerajaan dan sektor politik yang telah mengikuti bengkel kepimpinan wanita berwibawa iaitu Ketua Puteri UMNO Beaufort, Saridah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, Timbalan Pengarah Jabatan Perpustakaan Negeri, Maria Sinti dan Timbalan Pengarah Jabatan Arkib Negeri, Majella Tan Marquez,” katanya.

No comments:

Post a Comment