Sunday 27 November 2011

PROJEK BULAN PURNAMA BN DI PITAS?


Saudara Pengarang,

JALANRAYA Pitas-Bongkol sepanjang 8 Kilometer kini rosak teruk selepas tiga bulan disiapkan. Fasa pertama dibina pada 2008 sejauh 2 kilometer sangat bermakna kepada masyarakat setempat kerana memudahkan perjalanan setiap hari yang selama ini terpaksa menempuh jalan yang becak dan berlumpur.

Namun setelah tiga bulan jalanraya beraspal ini digunakan, sudah ada yang merekah dan pecah; semakin hari semakin rosak dan binasa sehingga ke hari ini jalan raya yang saya maksudkan tinggal 20% yang tinggal beraspal, selebihnya terpaksa ditabur batu semula kerana berlubang dan sangat menyulitkan perjalanan.

Projek ini layak digelar ’Projek Bulan Purnama’ yang sebelum ini dinamakan ‘Janji Terang Bulan’.

Sudah pasti pembinaan jalan raya ini tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh JKR kerana aspal yang digunakan hanya setebal satu inci dan pengunaan bitumen juga tidak mencukupi dapat dilihat daripada warna aspal tersebut seperti gambar yang disertakan.

Isu lain yang berkaitan dengan pembinaan jalan raya ini ialah pampasan tanah, tanaman dan rumah masyarakat kampung yang terlibat dengan projek ini. Pada awalnya, pihak berwajib menafikan hak penduduk kampung dengan mengatakan tidak ada peruntukan bagi pampasan.

Namun setelah didesak oleh masyarakat kampung dan meminta pertolongan SUHAKAM pada 2009, pihak JKR menjalankan penilaian terhadap jumlah tanaman, rumah dan kawasan tanah yang terlibat untuk dibayar pampasan mengikut jumlah yang ditetapkan oleh mereka.

Tetapi masa telah berlalu, bayaran yang dijanjikan hanya tinggal janji. Yang Berhormat kawasan ini juga tidak pernah membela kebajikan masyarakat kampung yang telah kehilangan tanaman dan sebahagian tanah sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga mereka.

YB tersebut juga sudah hilang kelayakan untuk bertanding semula kerana hanya mengejar pangkat dan harta sebaliknya membelakangi kepentingan rakyat. Justeru itu saya sangat mengharapkan agar surat terbuka ini dapat disiarkan supaya dapat membuka mata dan fikiran pihak-pihak tertentu yang selama ini hanya mementingkan keuntungan diri sendiri.

Salam Hormat,

BONDIEN BIN DAMALI

No comments:

Post a Comment