Friday 4 November 2011

PROJEK MISTERI DI BELANTARA PAITAN?


BAHAYA....Kanak-kanak ini sedang melihat bateri asid plumbum yang dipasang di rumah mereka.

Oleh : MUTALIB M.D

TIDAK ada seorangpun, termasuk Ahli Parlimen, ADUN, Pegawai Daerah dan Ketua Kampung yang mengetahui siapa yang memasang projek elektrik solar menggunakan bateri asid plumbum di beberapa buah kampung, terutama 53 buah rumah di Kampung Kabuluh, Paitan di Beluran.

Sabahkini.net dan SabahkiniTV yang mengadakan tinjauan mengejut ke Paitan setelah mendapay maklumat daripada penduduk kampung, terutama ibu bapa yang kesal kerana pelajaran anak mereka merosot dan gagal menumpukan perhatian terhadap pelajaran; dipercayai akibat kesan pencemaran bateri plumbum yang digunakan di rumah mereka dan di SK Kabuluh sejak sekian lama.

Tinjauan Sabahkini.net ke Kampung Kabuluh mendapati Sistem Bekalan Elektrik Solar di sekolah berkenaan telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi sejak beberapa tahun lalu, tetapi sekolah berkenaan masih mendapatkan bekalan elektrik daripada genset yang baru dibeli pihak sekolah.

Guru Besar SK Kabuluh tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan keputusan penuh UPSR sejak 2003 sehingga 2010, namun mengikut Ketua Kampung Kabuluh, Nahuda Bin Daud, 67, peratus kelulusan UPSR setiap tahun tidak pernah mencapai 50%.

“Kita kesal kerana sekolah ini menghadapi masalah bekalan elektrik, tetapi kita lebih bimbang jika kemerosotan pelajaran anak-anak kita disebabkan kesan daripada keracunan plumbum daripada bateri yang digunakan untuk sistem elektrik solar yang kini hanya menjadi hiasan kerana telah rosak,” kata Nahuda yang menemani Sabahkini.net menjalankan tinjauan ke sekolah dan kampung Kabuluh.

KECEWA....Nahuda di hadapan papan tanda visi SK Kabuluh.


Dalam nada yang agak jengkel, Nahuda bertanya bagaimana SK Kabuluh akan melahirkan generasi pelajar yang cemerlang menjelang 2012 jika tidak mempunyai bekalan elektrik dan bekalan elektrik yang dipasang di rumah-rumah mereka menggunakan bateri asid plumbum yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah mental, mudah lupa dan mewariskan genetic kepada generasi akan datang.

Menurut Nahuda, kesemua 53 buah rumah yang sebelum ini telah dipasang dengan sistem bekalan elektrik solar ‘stand alone’ tetapi telah rosak antara satu hingga tiga tahun lalu.

“Baru-baru ini ada kontraktor datang pasang unit baru tetapi mereka enggan memberitahu siapa yang mengarahkan mereka memasang sistem berkenaan bagi menggantikan sistem BP Solar sebelum ini,” kata Nahuda yang hairan kerana semua kerja dilakukan oleh sub-kontraktor yang tidak bertauliah.

Dalam pada itu, Sabahkini.net telah menghubungi Ahli Parlimen Malaysia (Beluran) Datuk Ronald Kiandee untuk bertanyakan isu pemasangan elektrik solar terbaru di Kampung Kabuluh, namun beliau mengesahkan tidak ada pihak yang memaklumkan beliau dan pegawainya berhubung projek misteri tersebut.

Ronald meminta Sabahkini.net menghubung Pegawainya di Beluran, Eric @ Samad untuk membantu mengesan kontraktor yang menjalankan kerja tersebut; tetapi dimaklumkan bahawa hasil pertemuan beliau dengan Pegawai Daerah Beluran, Yusop Haji Osman, mereka gagal mengesan nama kontraktor berkenaan kerana tidak melalui Pejabat Daerah Beluran.

Hasil penyelidikan Sabahkini.net, terdapat satu projek misteri iaitu Projek Pembinaan Bekalan Sistem Alternatif Mukim Paitan, Sabah bernilai RM33.816 juta yang dijalankan oleh Naluri Rezeki Sdn.Bhd melalui kontrak KKLW.T.56/2011.

Bagaimanapun, menurut sumber KKLW pihaknya tidak menjalankan projek solar ‘Stand Alone’ sebaliknya hanya Projek Bekalan Elektrik Solar Solar Hibrid yang bernilai ratusan ribu bagi setiap buah rumah.

No comments:

Post a Comment