Saturday 5 November 2011

RM100,000 DANA PENDIDIKAN PPKK KUDAT



KASIH SAYANG...Azizah ceria ketika bersama kanak-kanak pada majlis Mini Konvokesyen PPKK Bahagian Kudat di SMK Matunggong.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata tahap pendidikan keluarga miskin turut memberi kesan kepada anak-anak dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Tegas beliau, kanak-kanak merupakan generasi pelapis yang akan meneruskan usaha pembangunan Negara, maka adalah penting untuk menyiapkan kanak-kanak hari ini terutamanya dari luar bandar untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Seacara umum kawasan luar bandar, kata Azizah, tradisinya sinonim dengan pergantungan masyarakatnya kepada sumber pertanian, kekurangan prasarana, kemiskinan dan keciciran dalam pendidikan.

Justeru itu kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar.

DANA...Azizah menyampaikan replika cek kepada Narawi untuk PPKK Bahagian Kudat.

Bagaimanapun katanya, isi rumah di kawasan luar bandar ini juga perlu sedar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan anak-anak mereka kerana tanpa pendidikan yang sempurna, mereka akan terus terperangkap dalam kemiskinan.

“Tanpa ilmu juga, anak-anak akan lebih terdedah kepada masalah-masalah sosial. Oleh itu penekanan terhadap aspek pendidikan awal kepada kanak-kanak di luar bandar mampu untuk mengeluarkan golongan ini daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata pendidikan formal lebih berkesan dalam membantu perkembangan kanak-kanak kerana ada pengisian-pengisian yang diambil kira akan memenuhi kehendak perkembangan minda dan fizikal secara total.

“Ibubapa perlu menyedari bahawa pergaulan dan pembelajaran bersama dengan rakan sebaya di dalam kelas khas, tidak sama dengan pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak di rumah sendiri.

“Sejajar dengan itu, salah satu objektif kementerian ialah memperkukuhkan sistem sokongan sosial yang sedia wujud dalam membantu anggota masyarakat membangun dan berfungsi secara optimum.

“Pihak kementerian saya sentiasa memberikan sokongan padu kepada semua projek komuniti yang dijalankan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah,” katanya ketika merasmikan Mini Konvokesyen Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) bahagian Kudat di SMK Matunggong, kelmarin.

Turut hadir, Pembantu Menteri PMHEP, Datuk Herbert Timbon Lagadan; Adun Matunggong Sarapin Magana; Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Mohamad Noor Wahab;, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Bianus Kontong; Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN Banggi, Abdan Abd Majid dan Pengerusi Penganjur, Narawi Bolongkikik.

Pada majlis itu Azizah menyampaikan cek berjumlah RM100,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Bahagian Kudat.

Azizah juga menyampaikan sijil kepada 112 kanak daripada 120 PPKK dan 20 Pengerusi PPKK menerima watikah perlantikan.

Majlis itu diserikan dengan persembahan tarian Sumazau PPKK Kg Panikuan Matunggong, Koir (PPKK Kotud Kota Marudu), bercerita (PPKK Kg Andap Jawa Sikuati Kudat) dan Tarian Pakiring oleh kanak-kanak PPKK Kg Tigabu Banggi.

Azizah yang juga Adun Klias itu berkata beliau amat menghargai segala usaha pihak jabatan dan mengkagumi kerjasama yang diberikan oleh masyarakat khususnya di Bahagian Kudat ini.

Beliau berharap agar usaha-usaha pembangunan komuniti seperti Program PPKK dapat diteruskan dengan lebih giat lagi bagi memastikan kanak-kanak luar bandar dijaga mendapatkan khidmat pendidikan yang lebih baik.

“Berdasarkan peruntukan yang diberikan oleh pihak jabatan sebanyak RM5,000 setahun bagi setiap PPKK, diharapkan pengerusi dan guru-guru komuniti dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk memajukan PPKK di kampung masing-masing.

“Saya yakin dengan kesungguhan dan kerjasama yang jitu akan menghasilkan generasi muda yang berbakat dan berdaya saing. Perbanyakkan lagi aktiviti yang boleh mengembangkan lagi daya kreativiti kanak-kanak, kerana ini menjadi asas kepada kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar.

Beliau turut menyeru agar pengerusi dan guru-guru komuniti PPKK di kawasan masing-masing mempunyai komitmen yang tinggi untuk mempertingkatkan mutu pendidikan agar setara dengan kawasan yang lebih maju.

“Sama ada di bandar mahupun di luar bandar, jurang pendidikan boleh disetarakan dengan penyampaian mutu perkhidmatan yang berkesan dan seterusnya membantu dalam pembangunan masyarakat secara optimum,” katanya.

1 comment:

  1. 1.Pembetulan -Pengerusi Penganjur, Nawari Bolongkikik bknnya Narawi Bolongkikik.

    2.Azizah juga menyampaikan sijil kepada 112 kanak daripada 120 PPKK dan 20 Pengerusi PPKK menerima watikah perlantikan. ( 20 ppkk sebenarnya bukan 120 ppkk)

    Harap dpt perbetulkan Fakta2 ini. Terima kasih...

    ReplyDelete