Tuesday 1 November 2011

RUBIN ‘JUAL BORONG’ ORANG MURUT?



Oleh: GONOD SUNDA

KEGHAIRAHAN pemimpin-pemimpin politik KDM untuk mendapat kuasa lebih dalam UMNO sehingga mereka hilang arah dalam memacu persatuan yang menghimpunkan ratusan ribu pengikutnya; terutamanya Persatuan Murut Sabah (PMS) yang dipimpin Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang yang kini menjadi Timbalan Presiden Persatuan KDM Malaysia di bawah teraju Datuk John Ambrose, Ketua BahagiAn UMNO Penampang.

Malahan ramai yang menyifatkan kemunculan Persatuan KDM Malaysia yang diasaskan pemimpin KDM dalam UMNO amat mengelirukan, malah persatuan itu seolah-olah ingin mencantas dan mengambil alih peranan persatuan kesukuan lain yang telah wujud sekian lama, khususnya PMS.

Mereka juga turut mempersoalkan motif di sebalik keistImewaan Persatuan KDM Malaysia diluluskan pendaftarannya, sedangkan etnik-etnik kesukuan dalam KDM telah pun mempunyai persatuan masing masing.

Adakah kelulusan ini mungkin satu strategi atau satu taktik memperalatkan Persatuan KDM Malaysia sebagai perkakas UMNO untuk memecahbelahkan KDM dalam konteks ‘Pecah dan Perintah’ bagi memenangi PRU13 untuk terus berkuasa di Sabah?

Tindakan Rubin menyertai KDM Malaysia, jelas menunjukkan satu percubaan paling tragis untuk ‘menjual borong’ orang Murut kepada UMNO, sedangkan bukan semua Murut menyukai UMNO atau BN.

Datuk Rubin yang menjadi Presiden PMS harus memahami perasaan ratusan ribu ahlinya dari keturunan suku kaum Murut yang merangkumi lapan etnik di dalamnya, sepatutnya perlu dimaklumkan terlebih dahulu hasratnya, sebelum terus menyertai Persatuan KDM Malaysia yang dianggap sebagai ‘telah membelakangi PMS’.

Selepas pengumuman penubuhan Persatuan KDM Malaysia beberapa hari lalu, Datuk John Ambrose turut mengumumkan hasrat persatuan itu untuk menyertai badan gabungan dengan UMNO sepertimana berlaku pada USBO.

Selain itu, menurut Datuk John Ambrose, persatuan itu akan membantu masyarakat KDM di luar bandar untuk mendapatkan PPRT kerana matlamatnya akan mempastikan BN kemenangan BN pada PRU13.

“Jika itulah niat yang tersirat dan tersurat di hati John Ambrose dan Rubin Balang, apakah UMNO dan BN tetap kalah pada PRU13 menyebabkan mereka terpaksa mengheret persatuan-persatuan ke kancah politik, sedangkan dalam perlembagaan persatuan masing masing khususnya PMS tidak membenarkan ianya diperalatkan sebagai batu loncatan seseorang pemimpin untuk maju dalam politik,“ kata seorang ahli PMS di Pedalaman, Christopher, yang dihubungi beberapa hari lalu.

“Kita tidak menghalang penubuhan itu kerana dalam Perlembagaan juga membenarkan demikian, tetapi biarlah penubuhan itu tidak berlaku pertindihan supaya masyarakat sesuatu kesukuan tidak terkeliru atau dalam dilema. Berapa banyak persatuan berasaskan KDM seperti KDCA, USDA, PMS, Murut 1 Borneo, Persatuan Tobilung Sabah dan banyak lagi. Apakah tidak boleh dimajukan dengan menggunakan jentera kerajaan jika tujuannya telus dan tidak terpesong kepada maksud yang lain,” tegas Christopher lagi.

Justeru, ramai ahli PMS yang meminta Datuk Rubin Balang menyatakan secara jelas kedudukannya, sama ada masih terus memimpin PMS atau memilih kedudukannya sekarang sebagai Timbalan Presiden Persatuan KDM Malaysia. Sekiranya jawapan Rubin memilih kedudukannya sekarang, maka beliau harus melepaskan jawatan selaku Presiden PMS secara terhormat.

Paling penting, ketelusan dan kejujuran Rubin untuk meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin Murut dengan cara yang betul dan terhormat supaya martabat suku kaum Murut di negeri ini akan terus disegani dan dihormati oleh masyarakat lain (kalau tidak pun di seluruh dunia) kerana prinsip dan pendirian yang jelas ketika memimpin ratusan ribu ahlinya; yang bukan kesemuanya mahu menyertai UMNO kerana mereka juga masing-masing mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza.

No comments:

Post a Comment