Monday 7 November 2011

RUMAH PPRT ‘CINCAI’ BELUM SIAP



Saudara Pengarang,

Berikut adalah surat penjelasan saya terhadap paparan yang dikeluarkan pada 05 November 2011. Saya ingin memohon ehsan daripada saudara pengarang supaya dapat menyiarkan surat penjelasan saya ini. Untuk itu saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Pengarang dan tidak dilupakan saya mengucapkan ‘Selamat Menyambut Aidil Adha’ kepada Sidang Pengarang dan Seluruh Krew Sabahkini.net.

Saya ingin merujuk kepada paparan yang bertajuk ‘Rumah PPRT Telalu Cincai’ yang disiarkan oleh Sabah Kini pada 05 November 2011. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada penerima Program Bantuan Rumah (PBR) berkenaan iaitu Richard Bin Simon mengenai dengan mutu kerja pembinaan rumah berkenaan, yang saya akui terdapat kecacatan.

Namun saya ingin menjelaskan beberapa perkara agar perkara ini tidak disalah anggap oleh sesiapa pun. Biar saya perjelaskan fakta mengenai rumah tersebut satu persatu:-

a) Rumah berkenaan BELUM lagi siap, apatah lagi diserahkan kepada Richard.

b) Ini bermakna rumah tersebut masih lagi dalam pembinaan dan sebarang kecacatan masih dalam tanggungan kontraktor.

c) Belum ada tuntutan bayaran ke atas pembinaan rumah berkenaan dikemukakan oleh kontraktor. Kalau dikemukakan sekali pun ianya tidak akan diproses kerana kecacatan berkenaan HARUS diperbaiki.

d) Setiap tuntutan pembayaran oleh kontraktor PERLU disokong dengan borang pengesahan penyiapan yang di tandatangani oleh Richard sendiri.

Selaku juruteknik saya memantau semua projek-projek kecil di daerah Kemabong semampu saya kerana sebagai makluman hanya seorang sahaja juruteknik di daerah ini yang memantau kesemua projek-projek kecil; termasuklah Projek melalui peruntukan Khas ADUN dan MP; Projek PIA/PIAS, Projek Pembasmian Kemiskinan dan juga Projek PBR ini.

Untuk rumah ini, saya telah datang memantau lebih dari tujuh kali dan BUKAN lima kali seperti yang dikatakan oleh Richard dalam paparan tersebut. Surat amaran telah juga dikeluarkan kepada kontraktor berkenaan dan surat amaran yang terakhir bertarikh 1 November 2011.

Antara lain kandungan surat berkenaan ialah projek berkenaan ‘Tidak Akan Dibayar’ sekiranya kecatatan tidak diperbaiki dan juga lesen kontraktor berkenaan akan dicadangkan untuk disenarai hitamkan.

Manakala isu mangkuk tandas cangkung tidak seharusnya dibangkitkan kerana dinyatakan di spesifikasi kerja PBR.

Namun selaku juruteknik di Pejabat Daerah Kemabong, saya berasa amat terkilan dengan tindakan penerima PBR ini yang membuat laporan seolah-olah ada penyelewengan dicpihak saya dalam projek berkenaan.

Saya telah memberi jaminan kepada beliau bahawa semua kecacatan yang dia adukan akan diperbaiki sehingga sempurna, cuma sahaja saya meminta agar dia boleh bersabar kerana projek berkenaan masih dalam pembinaan.

Untuk makluman, pegawai kami di Pejabat Daerah Kemabong amat menitik beratkan mutu kerja semua projek, terutama sekali projek PBR yang dilaksanakan di daerah Kemabong.

Sebagai contoh, sebuah rumah PBR juga di kampung lain, yang masih di peringkat pemasangan rangka kasau atap, telah diarahkan untuk dirobohkan kerana tidak mematuhi spesifikasi pembinaannya. Ini menunjukkan kami tidak berkompromi mengenai dengan mutu kerja. Selain itu pegawai kami juga sering turun padang untuk memantau sendiri pelaksanaan semua projek di daerah Kemabong.

Oleh itu, andaian Richard bahawa berlaku rasuah dalam kes ini, amat menyedihkan, kerana saya telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Namun saya terima tohmahan itu dengan hati yang terbuka kerana Tuhan yang maha kuasa tahu apa yang ada dalam hati sanubari saya kerana saya terima tugas serta tanggungajawab ini sebagai satu ibadah.

Sebelum saya mengakhiri penjelasan ini, saya memohon kepada semua pihak agar tidak menilai kerja kami dari sudut pandangan yang sempit, kerana dalam hal ini MUNGKIN ada faktor lain termasuk faktor politik yang sedang dimainkan.

Lantas saya berani mengatakan, kami memikul tanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini dengan hati nurani yang bersih.

Sekali lagi, saya memberi jaminan kepada Richard, bahawa semua kecacatan pembinaan rumah tersebut akan di perbaiki dengan segera!

Sekian dan Salam Hormat.

RAYNER FRANCIS

Juruteknik Pejabat Daerah Kemabong.

No comments:

Post a Comment