Wednesday 2 November 2011

RUMAH RETAK AKIBAT KERJA TIMBUS TANAH?



Oleh : CHANG SHAK HUNG

KERISAUAN akibat keretakan serius pada dinding rumah yang didiaminya menyebabkan Poon Wai Ming menghubungi Unit Aduan Sabahkini.net untuk meninjau rumah teresnya di Blok H, Taman Wemin, Sandakan.

Daripada tinjauan yang dijalankan, ternyata terdapat keretakan serius di belakang halaman rumah beliau. Dinding pagar konkrit telah mempunyai ruang pemisah (gap) selebar 3 inci dan lantai rumah telah retak dengan jurang lantai asal sebesar 1 inci sehingga menyebabkan tempat penyimpanan tangki air telah condong.

Poon memaklumkan bahawa semasa kerja-kerja menimbus dan meratakan tanah dibuat oleh sebuah kontraktor pembinaan kira-kira 3 tahun yang lalu, beliau telah menasihati pihak kontraktor supaya mengambil langkah-langkah drastik untuk mengelakkan hakisan tanah berlaku di masa akan datang.

Namun beliau hampa kerana kontraktor tidak mempedulikan aduan beliau dan pada hari ini, kejadian hakisan dan kegelongsoran tanah telah menyebabkan pemilik rumah bimbang rumah mereka akan robok jika retakan semakin melebar.

Sabahkini.net telah mengajukan isu ini kepada Majlis Perbandaran Sandakan untuk tindakan segera bagi menjamin keselamatan penghuni di kawasan berkenaan kerana musim hujan bakal melanda Sandakan tidak lama lagi.

Di samping itu juga, MPS wajar menjemput pihak pemaju dan kontraktor binaan yang terbabit dalam kerja-kerja menimbus dan meratakan tanah untuk bersama-sama mencari penyelesaian supaya tidak membahayakan penghuni di rumah-rumah yang terbabit.

No comments:

Post a Comment