Saturday 19 November 2011

SABAH HANTAR PERWAKILAN TERBESAR



LEBIH 600 anggota perwakilan Umno dari Sabah akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra selama lima hari bermula 29 November ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Musa Aman (gambar) berkata kumpulan perwakilan itu merupakan yang terbesar berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Saya juga meminta kepada semua ketua bahagian supaya sentiasa mengemas kini jentera masing-masing bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Walaupun kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan namun parti kita khususnya Umno perlu membuat persediaan awal supaya kita sentiasa berada dalam keadaan siap sedia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Sabah di Bangunan Umno malam tadi.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata turut dibincangkan pada mesyuarat itu ialah persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Belanjawan Negeri 2012 yang akan dibentangkan hari ini.

“Bajet yang dibentangkan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan kita telah mengambil kira pandangan daripada badan-badan bukan kerajaan dan juga penjawat awam,” katanya.

Mengenai kekeliruan cara pembayaran bantuan tunai RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah kerajaan di negeri ini, Musa berkata semua pihak perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran yang menetapkan agar wang itu disalurkan kepada akaun sekolah dan pihak sekolah akan mengageh-agehkannya terus kepada pelajar di sekolah masing-masing.

No comments:

Post a Comment