Wednesday 9 November 2011

SALLEH KALBI GUNA IJAZAH PALSU?



Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

SELEPAS isu ijazah kedoktoran (PhD) palsu di Sabah melibatkan ‘Sultan Sulu’ Datu Akjan Datu Ali Muhammad dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu reda; kini timbul kembali ekoran tindakan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Doktor Falsafah’ dan menggunakan gelaran tersebut dalam akaun Facebook, Blog Peribadi dan Kain Pemidang yang dipasang di merata tempat Lahad Datu.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Sabah, Citra Masadi, yang singgah di Lahad Datu dalam perjalanannya ke Sandakan terkejut dengan tindakan murahan Salleh Kalbi yang berbangga menggunakan gelaran ‘DR’ sekalipun beliau belum mendapat Ijazah Kedoktoran daripada mana-mana Universiti.

“Sebelum ini ahli Parlimen ‘Syok Sendiri’ ini menggunakan gelaran ‘Duta Keamanan PBB’, walhal Duta Keamanan tersebut dianugerahkan oleh Universal Peace Federation (UPF) yang berpangkalan di Korea yang juga salah satu aliran pendukung Kristianisasi," kata Citra.

Pencalonan Salleh sebagai Duta UPF, kata Citra, dibuat oleh Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Boi dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Hiew King Cheu.

Tindakan Salleh Kalbi menggunakan ijazah palsu dan gelaran ‘DR’ adalah tindakan yang memalukan imej Parlimen Malaysia, tetapi kata Citra, oleh kerana beliau Ahli Parlimen BN, maka tidak ada media yang menggembar-gemburkan isu ini sebagaimana nasib Hiew King Cheu sedikit masa lalu.

Citra yang mendapat maklumat daripada Jabatan Chansellori sebuah universiti tempatan yang menolak permohonan Salleh Kalbi untuk mengikuti pengajian ‘Ijazah Doktor Persuratan’ (PhD) kerana Ijazah Sarjana (Master) yang digunakan Salleh Kalbi tidak diiktiraf oleh Universiti berkenaan (Palsu).

Sehubungan itu, Citra mendesak agar Salleh tidak lagi menggunakan Ijazah PhD palsu berkenaan untuk segala urusan kerana dibimbangi akan menjadi trend yang memalukan institusi pelajaran dan perundangan Malaysia.

Parlimen Malaysia sewajarnya menyiasat isu gelaran ‘DR’ yang digunakan Salleh Kalbi kerana menurut rekod, beliau hanya berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengurusan Perniagaan) daripada St. Mary University di Minnesota, Amerika Syarikat.

Namun kata Citra, Salleh mendakwa beliau berkelulusan Sarjana Sains (Pendidikan) daripada American State University, Amerika Syarikat, bagaimanapun siasatan Tim AMK mendapati Salleh melanjutkan pelajaran ke Warwich University dan kemudiannya berpindah ke Bermingham Polytechnic di England dalam Jurusan Diploma Perancang Bandar.

Pengajian Salleh tidak tamat dan kembali ke Sabah lalu bekerja sebagai Kerani Penempahan Tiket di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Lahad Datu sejak tahun 1988 sehingga 1994 sebelum menjadi Eksekutif Pemasaran di SEBOR, Lahad Datu.

Setahun selepas Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah daripada Parti Bersatu Sabah pada 1994, kata Citra, Salleh bersama isterinya, Hajjah Fatmah Haji Abdul Aziz (PATI) dan dua anaknya telah terbang ke Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran di Western Michigan University pada tahun 1995.

“Tetapi entah kenapa Salleh berpindah belajar ke Walsh University di Ohio, Amerika Syarikat dan akhirnya berpindah lagi ke St. Mary University di Minnesota, sehingga lulus dengan kepujian ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengurusan Perniagaan),” kata Citra yang curiga dengan Ijazah Sarjana Sarjana Sains (Pendidikan) di American State University, Amerika Syarikat yang diperolehi Salleh pada tahun 1999 kerana ditolak oleh Universiti tempatan.

Menurut Citra, rakyat di Parlimen Silam kini menggelar Salleh sebagai ‘Permanent Head Damage’ (PhD) kerana suka menggunakan gelaran yang hanya layak di Hospital Bahagia ‘Tanjung Rambutan’.

Selain Salleh kata Citra, seorang ahli Ahli Parlimen Malaysia, Datuk Marcus Mojigoh dipercayai turut menggunakan ijazah PhD palsu yang dibeli dengan harga RM17,000!

No comments:

Post a Comment