Sunday 20 November 2011

SAPP KUALA PENYU KEMBALI BINGKAS



Oleh : JAMAIN SARUDIN

KAWASAN CLC N.26 Kuala Penyu tidak pernah dilupakan, meskipun kurang aktif dalam tempoh 3 tahun ini. Malah kawasan tersebut dibugarkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli baru. Detik perubahan ini disaksikan sendiri oleh Bendahari Agung SAPP, Dullie Marie ketika menerima permohonan keahlian dan cawangan Baru Kg. Bukit Nuri, Kuala Penyu yang diketuai oleh Abu Samah Bin Ajak.

Majlis penyerahan permohonan keahlian tersebut diadakan di rumah kediaman Abu Samah sendiri. Menurutnya, beliau dan ahli-ahlinya amat tertarik dengan perjuangan SAPP sebuah parti tempatan di Sabah. Tindakan berani SAPP keluar dari Barisan Nasional memberikan gambaran kesediaan parti tersebut memerintah Negeri Sabah pada masa yang terdekat.

Jualin @ George mantan ahli UMNO yang turut berucap di Majlis itu meminta agar penduduk kampung tidak terpedaya dengan taktik kerajaan BN hari ini yang hanya memberikan bantuan bila tiba kehangatan pilihanraya, sepertimana bantuan kewangan kepada murid sekolah. Beliau yang merasa kesal kerana masih ramai orang yang layak telah dipinggirkan daripada mendapat bantuan kerajaan seperti rumah PPRT dan sebagainya.

Sementara itu, Dullie Marie yang teruja dengan sambutan hangat ahli-ahli baru di Kuala Penyu meminta agar keahlian diperbanyakkan lagi dan usaha memberikan penerangan kepada penduduk kampung terus digiatkan.

Menurutnya, penduduk kampung hanya disogokkan berita sehala melalui media kerajaan dan saluran berita TV. UMNO telah hadir di Sabah dan membawa konsep ‘pecah dan perintah.’

Beliau memberikan penerangan secara ringkas pelbagai isu termasuk ekonomi dan isu petroleum. Menurut beliau, Sabah daripada negeri yang kaya di Malaysia telah jatuh menjadi negeri termiskin sejak Barisan Nasional memerintah Sabah. Bermakna pemimpin BN telah gagal menunaikan tanggungjawab mereka dalam membela nasib rakyat.

Sementara itu Pemangku Pengerusi CLC Kuala Penyu, Jamain Sarudin pula berkata, beberapa cawangan lagi akan dibuka di Kuala Penyu dan berharap ahli-ahli bekerja keras sebagai satu pasukan untuk membuka peluang bagi kawasan tersebut.

Meskipun masa terlalu singkat, beliau yakin, masih terdapat potensi bagi kawasan Kuala Penyu melakar sejarah tersendiri di Pilihanraya Umum akan datang. Jamain yang juga Pengerusi CLC Lumadan berkata, perkembangan baik ini turut di dorong oleh isu setempat di kawasan tersebut, termasuk kelemahan wakil rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Seng.

No comments:

Post a Comment