Friday 11 November 2011

SENI LUKIS ANGKAT MARTABAT INSAN SENI



NILAI SENI....Azizah tertarik dengan hasil lukisan pada Pameran Seni Lukis Kanak-kanak Malaysia-Jepun 2011 di Perpusatakan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Beaufort.

Oleh : ABDUL BAKAR ESAH

KARIER seni lukis mampu menjadikan seorang insan seni menjadi terkenal di persada antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat penggiat seni lukis negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, generasi muda terutamanya kanak-kanak yang memiliki bakat dalam bidang lukisan perlu diberi dorongan dan sokongan.

“Anak-anak yang berbakat dalam seni lukis boleh menjadikannya satu karier yang mampu mengangkat martabat mereka menjadi insan yang dikagumi melalui hasil karya seninya.

“Saya amat berharap ibu bapa dan masyarakat terus memberi ruang dan dorongan untuk memanfaatkan bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi dan member manfaat kepada semua orang khususnya dalam bidang seni lukis negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Seni Lukis Kanak-kanak Malaysia-Jepun 2011 di Perpusatakan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Beaufort.

Pameran itu diadakan dengan kerjasama pihak NPO Corporation MAY Asaka Center (MAY Library) dan di adakan di Sabah semenjak tahun 2001.

Hadir sama Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin; Presiden NPO Corperation, May Asaka Center (May Library), Fumiko Oike; Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Salim Gabot; Ketua Perpustakaan Cawangan Beaufort, Yakob Tamit; Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort Ali Baba dan Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Beaufort, Awang Anak Ab Sani.

Azizah yang juga Adun Klias itu berkata, Pameran Seni Lukis Kanak-kanak Malaysia-Jepun itu merupakan salah satu usaha murni yang dapat mengeratkan hubungan dua hala di antara negara Malaysia dan Jepun.

Kita boleh mempelajari tentang sesebuah negara melalui lukisan kerana ia merupakan sesuatu penceritaan tentang kehidupan sesebuah masyarakat, alam sekitar, kebudayaan dan nilai-nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat.

Lukisan juga merupakan salah satu cara bagaimana seseorang boleh memberitahu orang lain tentang isi hati atau perasaannya. Jika hasil lukisan itu mendamaikan maka begitulah juga damainya perasaan pelukis itu dan jika ianya berkecamuk maka demikianlah juga bergeloranya perasaan pelukisnya.

Masyarakat luar akan dapat melihat kedamaian dan kegembiraan sebuah masyarakat lain melalui keindahan hasil lukisan sesuatu kaum.

Program seperti ini, kata Azizah, boleh mengeratkan lagi hubungan di antara dua negara kerana ianya melalui sebuah media yang amat jelas dan tanpa prejudis.

Beliau yang tertarik dengan tema pameran, 'Friendly Relationship Through Pictures' berkata lukisan adalah hasil seni dari pengamatan dan pengalaman terhadap alam sekitar dan apa jua yang berlaku di sekeliling masyarakat.

“Apabila pengamatan ini diterjemah melalui kaca mata kanak-kanak kita akan melihat kepolosan dan keluhuran hati mereka terhadap semua yang berlaku di persekitaran mereka melalui lukisan yang mereka hasilkan. Lukisan mereka amat senang dimengerti dan merentasi sempadan kaum dan daya kreativiti mereka turut berkembang melalui hasil seni mereka,” katanya.

RASMI....Azizah dibantu Fumiko membuka ruang pameran dengan rasminya.

CENDERAMATA....Fumiko menyampaikan cenderamat kepada Azizah sebgai tanda kenangan dan terima kasih.

Azizah menambah program itu boleh menjadi pencetus minat dan motivasi kepada para pelajar untuk menghasilkan karya mereka yang akan diperlihatkan kepada rakan-rakan sebaya mereka di negara lain.

Katanya, program seperti itu juga akan mendidik kanak-kanak untuk menghargai pelbagai budaya di negara ini yang bersifat kompleks dan di samping mampu menerbitkan rasa sayang kepada negara bangsa.

“Saya amat kagum dengan kegigihan dan komitmen tinggi daripada pihak MAY Library di bawah pimpinan Puan Fumiko Oike demi untuk menjayakan program ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan di atas usaha murni ini. Saya akan sentiasa memberi sokongan terhadap pameran ini dan berharap ia akan terus dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment