Saturday 19 November 2011

SMK NABAWAN LAKAR SEJARAH 2011



PALU…. Osman memalu gong tiga kali sebagai tanda perasmian majlis kecemerlangan SMK Nabawan disaksikan Ampalus dan Andau.

Oleh : HASSAN YAS

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Nabawan melakar sejarah tahun ini dengan membuka kelas tingkatan Enam dan Kelas tingkatan Empat Sains buat pertama kalinya.

Sekolah tertua di daerah ini telah dapat mencapai impian sebagai salah satu sekolah yang boleh bersaing dalam bidang akademik di pedalaman dengan adanya kelas berkenaan.

Majlis Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah, Osman Aganduk mendapat sambutan daripada ibubapa, pelajar dan guru-guru warga sekolah berkenaan dalam satu majlis penganugerahan dan kecemerlangan pelajar peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan baru-baru ini, di dewan serbaguna sekolah berkenaan.

Osman berkata, ibubapa seharusnya memainkan peranan penting dalam memajukan pendidikan anak-anak mereka dari rumah untuk menjamin kecemerlangan hidup.

Katanya, peranan ibubapa adalah sangat penting ketika anak-anak mereka berada di rumah sementara tugas yang digalas di sekolah oleh guru-guru adalah sekadar memberi ilmu pengetahuan.

Selain itu katanya, tugas ibubapa adalah mengatur masa belajar, menonton televisyen, bersukan, bekerja di mana sahaja, masa tidur atau rehat dan masa mengemas rumah dengan cara yang teratur dan berdisiplin untuk anak mereka.

"Adalah amat penting sekali ibubapa memainkan peranan dengan menggalakkan anak-anak mereka supaya rajin belajar, mengatur masa yang sesuai untuk aktiviti yang berfaedah dan ibubapa harus memberi tauladan yang baik dalam mendidik anak-anak mereka,” katanya.

Di samping itu, ibubapa memberi disiplin terhadap anak-anak mereka merangkumi pelbagai aspek masa belajar, berehat, menonton televisyen dan bersukan agar anak-anak merasa tidak bosan di rumah dan lebih bersedia menghadapi pelajaran semasa dibangku sekolah.

Manakala guru pula disaran agar memberi perkhidmatan terbaik ketika di sekolah dengan penampilan yang mesra dan bertugas menurut keberadaan sediakala, jelasnya.

Majlis kecemerlangan itu dihadiri kira-kira 700 orang yang terdiri daripada pelajar, ibubapa dan warga guru sekolah berkenaan, dimeriahkan dengan persembahan-persembahan kebudayaan oleh kelab kebudayaan SMK Nabawan.

CEMERLANG…. Lima orang pelajar yang masing-masing menerima anugerah khas adik Laindyen, Florina, Richie, Jeilis dan Heidya mengabadikan kenangan bersama Andau (kanan) dan PK1 Laineh.

KHAS… Pelajar pendidikan khas turut menerima hadiah.

Turut berucap adalah Pengetua sekolah berkenaan Andau Sanan katanya, SMK Nabawan melakar sejarah pada tahun ini dengan pembukaan kelas sains tingkatan empat (4) dengan 26 orang murid terpilih masuk dalam kelas berkenaan dengan elektif matapelajaran kimia, biologi dan matematik tambahan dan sains tulen buat kali pertamanya sekolah berkenaan membuka kelas tersebut.

Keduanya, SMK Nabawan turut membuka kelas tingkatan enam (6) rendah sebanyak dua kelas aliran kemanusiaan dan merupakan pusat tingkatan enam di daerah Nabawan Pensiangan dan tahun hadapan akan membuka tingkatan enam atas untuk pertama kalinya pelajar menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2012, katanya.

Di samping itu juga, dua buah kelas pendidikan khas telah dibuka untuk pelajar yang kelainan upaya dan tidak pandai membaca, manakala jumlah pelajar di sekolah berkenaan ialah 1,260 orang merupakan pusat sekolah yang terbesar dengan mempunyai lebih seribu pelajar di daerah ini.

Andau menyarankan kepada pelajar agar sentiasa menjaga disiplin dan menghadiri setiap kelas yang dibuka pada masa pembelajaran setiap hari persekolahan, ini kerana ilmu pengetahuan amat penting pada zaman globalisasi dan teknologi kini.

Sempena majlis tersebut 180 anugerah kecemerlangan telah disampaikan mengikut tingkatan, kelas, matapelajaran, kokurikulum, peperiksaan PMR dan SPM yang telah disempurnakan oleh Osman, Andau dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Ester Anis menerima anugerah pelajar cemerlang dalam peperiksaan penilaian menengah rendah (PMR) dengan memperolehi 7A; Norafizah Druis di tempat kedua 6A 2B dan Lydianie Peter ketiga mendapat 6A 1B+. Manakala pelajar cemerlang Sijil Pelajaran malaysia (SPM) di sandang Dreamy Racho, kedua Hasma Majin dan ketiga Rozilawati Sundai.

Selain itu anugerah khas disiplin terbaik disandang Richie Dapar, anugerah khas kokurikulum terbaik Laindyen Damius peringkat kebangsaan dan Florina Ochie Gabril peringkat negeri, manakala anugerah khas tunas harapan (MAPKEP 2011) ialah Jeilis Akalis dan Heidya John.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Ampalus Sanaron dan guru cemerlang Alvin Chan.

1 comment: