Wednesday 30 November 2011

TAMAN INDAH JAYA SEMAKIN TERABAI



Oleh : CHANG SHAK HUNG

KESULITAN penghuni di Taman Indah Jaya, Batu 4, Sandakan yang melibatkan permasalahan penduduk setempat seperti longkang tersumbat, telahpun mencapai ke tahap yang tidak boleh dipandang remeh lagi.

Melalui aduan yang diterima berhubung dengan permasalahan ini, Sabahkini.net telah meninjau ke lokasi Blok 156 dan kawasan sekitarnya bersama dengan pengadu, Wesley Khoo untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Menurut Wesley Khoo, sejak beliau pindah masuk ke kawasan ini pada tahun lalu, keadaan longkang tersumbat masih menjadi igauan ngeri kepada beliau dan penduduk di kawasan berkenaan dan ditambah lagi apabila hujan turun dengan lebatnya, kawasan di blok dan kawasan sekitarnya akan ditenggelami air.

Apatah lagi apabila musim hujan seperti yang berlaku pada bulan Februari tahun ini, yang telah menyaksikan Taman Indah Jaya seolah-olah kawasan lautan yang terbentang luas.

Takungan air longkang masih kelihatan dan tidak mampu mengalir sepenuhnya dan ia bertakung sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk. Pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan telah beberapa kali melakukan semburan fogging, namun ia bukanlah penyelesaian yang konkrit kerana air sentiasa bertakung.

Keadaan longkang tersebut yang hanya memerlukan satu jam hujan tanpa henti bagi memenuhi longkang ke paras tertinggi sebelum ia melimpah keluar, telah menyedarkan kita tentang peruntukan ADUN yang telah dinaikkan kepada RM1 juta bagi membantu penduduk di setiap DUN.

Persoalannya, adakah tanggungjawab ini perlu serahkan bulat-bulat kepada MPS dan pihak kerajaan sedangkan peruntukan ADUN boleh digunakan untuk mendapatkan khidmat kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pada waktu yang sama, nasib penduduk di kawasan DUN berkenaan akan terbela?

Walaupun permasalahan tersebut telah diajukan kepada pihak MPS melalui e-aduan dan mendapat maklum-balas bahawa ia telah dirujuk kepada pihak Jurutera Perbandaran Kanan untuk tindakan lanjut, namun ADUN tersebut tidak harus lepas tangan dan memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak MPS sahaja. Perlu diingat bahawa peruntukan tersebut adalah untuk penduduk di tempat anda dipilih sebagai Wakil Rakyat.

No comments:

Post a Comment