Thursday 17 November 2011

TAMBAHAN ELAUN RM600 UNTUK PPM



KERAJAAN telah meluluskan tambahan elaun sebanyak RM600 kepada Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) yang akan mula berkuat kuasa Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk menaikkan kadar elaun itu dari RM1,210 kepada RM1,810 ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) baru-baru ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dalam peringkat perbincangan untuk menaikkan elaun lain seperti tuntutan perjalanan, perubatan dan elaun kos sara hidup (COLA), katanya.

"Menyedari beban tugas yang terpaksa dipikul oleh semua PPMD dan ada sesetengah kes seperti di Pontian, Johor seorang PPMD terpaksa menjaga 191 masjid, jadi kerajaan bantu mereka ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa PPMD seluruh negara di sini Rabu.

Beliau berkata ketika ini negara mempunyai 78 PPMD yang ditempatkan di Pejabat Agama Islam Daerah di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Sejak tahun 2002, PPMD tidak pernah menerima sebarang kenaikan elaun apatah lagi pemberian bonus seperti penjawat awam lain memandangkan PPMD dilantik tanpa bersandarkan pada mana-mana skim, katanya.

Jamil Khir berkata antara tugas utama PPMD adalah melaksana dan memantau program keagaamaan serta membantu pihak berkuasa agama negeri dalam mengurus tadbir masjid atau surau di negeri berkenaan.

Beliau juga berkata lebih ramai PPMD akan dilantik selepas mendapati jumlah PPMD sedia ada tidak mampu menyelaras pentadbiran semua masjid di negara ini yang kini 6,119 buah. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment