Saturday 12 November 2011

TIADA AHLI UMNO SIPITANG SERTAI SAPP



RINGANKAN BEBAN…Kamarlin bersama pemimpin setempat ketika menyerahkan Wang Kumpulan Pelajar Miskin kepada salah seorang ibubapa di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

UMNO Bahagian Sipitang menafikan laporan yang mendakwa ahli-ahlinya di Zon Bangkalalak telah menyerahkan borang kemasukan untuk menjadi ahli Parti Maju Sabah (SAPP) secara beramai-ramai semasa lawatan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee ke kampung berkenaan, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang, Kamarlin Haji Ombi berkata, dakwaan serta laporan tersebut tidak berasas sama sekali dan merupakan provokasi semata-mata kerana semasa majlis perjumpaan yang dilakukan oleh parti SAPP di kampung berkenaan, kebanyakan pemimpin dan ahli parti menghadiri majlis Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar di Sk Bangkalalak, pada tarikh dan masa yang sama.

“Dakwaan dan laporan ini tidak berasas. Apa yang saya perhatikan pemimpin dan ahli Umno yang terdiri dari ibu bapa pelajar hadir dan memberikan tumpuan kepada majlis yang saya rasmikan pada masa dan tarikh yang sama di Sk Bangkalalak,“ katanya ketika diminta mengulas dakwaan SAPP kononya ramai ahli Umno dari Zon tersebut menyerahkan borang kemasukan untuk menjadi ahli SAPP.

Tambah Kamarlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, dari laporan yang diterimannya, kehadiran Yong selaku presiden SAPP pada majlis tersebut hanya lebih dimeriahkan oleh ahli rombongan dan bukannya penduduk setempat .

Kamarlin juga menolak tuduhan parti SAPP yang mendakwa Umno telah mensabotaj program parti tersebut dengan mengadakan program pada tarikh dan waktu yang sama.

“Dasar turun padang yang diamalkan oleh pemimpin Umno dan BN memang sentiasa kita budayakan, tidak timbul soal mensabotaj program parti lain kerana sebagai parti dan kerajaan yang berkerja untuk rakyat; kita sentiasa turun padang menemui dan menjayakan program untuk rakyat, tidak seperti parti pembangkang turun hanya secara bermusim,” tegas Kamarlin.

Sementara itu Ketua Kampung Bangkalalak, Abdullah Jambri juga turut menyangkal dakwaaan ramai ahl-ahli Umno dari Zon tersebut hadir dan menyerahkan borang keahlian untuk menjadi ahli SAPP pada majlis yang dianjurkan oleh parti SAPP di kampung tersebut.

Menurutnya, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, beliau mengenali mana-mana ahli Umno dan juga penduduk kampung yang hadir pada perjumpaan bersama Presiden SAPP itu.

Bagaimanapun beliau turut mengakui mereka bukanlah datang dari kampung tersebut tetapi diramaikan oleh ahli rombongan serta mereka yang datang dari kawasan lain.

“Kenyataan tersebut merupakan satu pembohongan semata-mata kerana tidak mungkin ahli Umno dan Penduduk kampung di kawasan ini terjebak dengan janji manis parti pembangkang yang hanya turun secara bermusim,” katanya.

Tambahnya, Ahli-ahli Umno dan Penduduk kampung tersebut akan terus berdiri teguh di bawah kepimpinan Datuk Sapawi Haji Ahmad sebagai Ketua Umno Bahagian Sipitang yang diperkukuhkan dengan gandingan mantap Kamarlin Haji Ombi sebagai timbalannya yang juga Wakil Rakyat di kawasan tersebut.

“Ahli Umno juga penduduk kampung di sini telah melihat bukti kepimpinan Umno dan Barisan Nasional di kawasan ini dalam membawa pelbagai kemajuan dan juga kestabilan politik. Jadi tidak mungkin mereka beralih arah menyokong perjuangan parti yang tidak mempunyai arah tuju yang jelas,” jelas Abdullah.

No comments:

Post a Comment