Sunday 13 November 2011

'TRAGEDI SUKAU' KAYU BAKAR UNTUK BN?



TINJAU…..Jeffrey bersama rombongan UBF di kawasan tragedi Sukau baru-baru ini.

Oleh : MEDIA UBF

Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, untuk mengambil langkah segera untuk campur tangan ke dalam apa yang dipanggilnya 'Tragedi Sukau' di mana rumah-rumah yang diranapkan oleh syarikat yang mahu penduduk pribumi untuk mengosongkan tanah adat yang mereka duduki.

“Tragedi Sukau ini akan menjadi kayu bakar untuk BN kerana merestui kezaliman dilakukan terhadap Anak Negeri Sabah, apatah lagi penglibatan wakil rakyat dalam kes rampasan tanah adat,” kata Pengerusi UBF itu.

Dalam rayuan segera yang dibuat di sini, Jeffrey, melaporkan bahawa dia baru sahaja pulang dari lawatan ke tapak Kampung KM 6, Jalan Sukau, Sandakan di mana beliau sendiri menyaksikan serpihan-serpihan dari dua buah rumah yang telah diranapkan oleh Syarikat Campo Sdn. Bhd yang mendakwa telah menerima hak milik tanah dan menganggap penduduk di sana sebagai penceroboh walaupun mereka telah berada di sana sejak tahun 1989.

"Penduduk pribumi Tombonuo itu telah memohon tanah itu, tetapi permohonan mereka tidak pernah diproses," kata Jeffrey.

"Tetapi anehnya syarikat tersebut, yang dimiliki oleh Dato' Nasir Yeo, Azlan Nasir dan Kan Kan Mun, mendakwa telah menerima geran tanah itu pada tahun 2008. Tetapi rekod menunjukkan bahawa RSP bagi tanah itu telah dikeluarkan hanya pada tahun lepas. Jelas sekali terdapat sesuatu yang tidak betul di sini, mungkin disebabkan permainan tersembunyi."

Beliau berkata, Ketua Kampung, Kattif Kussoi, telah memaklumkan kepada beliau bahawa penduduk kampung benar-benar kebingungan sekali atas segala perkembangan ini dan meminta pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu. Malangnya, seolah-olah tidak ada pihak yang berminat membantu mereka.

"Beberapa penduduk kampung melaporkan kepada saya bahawa wakil rakyat yang berkenaan didapati berada di dalam keretanya semasa operasi merobohkan rumah-rumah itu. Malahan pada satu ketika YB berkenaan menggesa pemandu yang jentolak itu dengan berkata, 'Tunggu apa lagi?'" kata Jeffrey.

"Jika ini benar, membuktikan bahawa ADUN sedang bersekongkol dengan syarikat itu," kata Jeffrey yang merasa kesal kerana sebelum mengeluarkan geran tanah kepada syarikat itu, Jabatan Tanah dan Ukur tidak tidak bertindak untuk meninjau kawasan tanah itu untuk melihat jika terdapat penghuni di atasnya.

"Dan sukar untuk dipercayai bahawa jabatan itu telah tidak menyedari bahawa terdapat 29 pemohon asal tanah tersebut," katanya.

"Sehingga hari ini 11 pemohon telah menarik balik permohonan mereka, maka masih ada tinggal 18 permohonan yang masih ada."

Beliau berkata bahawa jika Kerajaan Negeri benar-benar prihatin kepada rakyat, Ketua Menteri mesti serta-merta mengarahkan agar dihentikan 'rempuhan yang tidak berperikemanusiaan' yang dilakukan oleh syarikat berkenaan terhadap kaum pribumi miskin.

"Peristiwa ini benar-benar sudah melampau," katanya. "Dan kerajaan yang mendakwa membela rakyat tidak seharusnya membiarkan ini berlaku."

Beliau mencadangkan bahawa Kerajaan Negeri perlu segera membentuk satu pasukan petugas khas untuk meneliti semua kes-kes yang melibatkan masalah yang sama di mana hak tanah adat rakyat diceroboh tanpa peri kemanusiaan.

"Jenis kes-kes ini telah lama berleluasa di Sabah, sehinggakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah terlibat dengan mendalam untuk cuba menyelesaikannya," gesa beliau.

"Tetapi sedihnya, seolah-olah tiada penyelesaian yang dicapai, dan tindakan keras yang tidak berperikemanusiaan ini seperti menunjukkan kita sedang hidup dalam rejim autoritarian dan kuku besi."

Beliau berkata rakyat berasa bahawa pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan kini begitu rasuah sehingga mereka tidak lagi mempunyai apa-apa perasaan terhadap rakyat, tetapi bersekongkol dengan syarikat-syarikat besar untuk kepentingan peribadi mereka.

"Rakyat merasakan bahawa undang-undang yang ada pun tidak lagi dapat melindungi mereka," keluh beliau.

"Kenapakah kerajaan terus membuta tuli terhadap kes-kes ini walaupun Barisan Nasional berkali-kali memberi jaminan bahawa hanya BN sahaja yang boleh menjamin kesejahteraan dan masa depan rakyat? Bolehkahkerajaan terus berpura-pura menjadi pekak sedangkan rakyat terusmenjadi mangsa dan dipinggirkan untuk memberi laluan kepada syarikat-syarikat besar dari luar Sabah?"

No comments:

Post a Comment