Thursday 24 November 2011

TUBUH SSD ATAU KEMBALIKAN KUASA IMIGRESEN



Oleh : MUTALIB M.D

KERAJAAN Persekutuan disaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (SSD) atau mengembalikan kuasa Imigresen kepada Ketua Menteri Sabah bagi menangani ibu kepada segala masalah di Sabah iaitu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing membuat saranan berkenaan dalam pertemuan khas dengan Sabahkini.net di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi mengesahkan beliau telah menerima jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada jam 6 petang kelmarin, 23 November, 2011.

”Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana prihatin dengan masalah Sabah sekalipun terpaksa mengambil masa hampir setahun untuk menjawab memorandum saya,” kata Bumburing sambil menunjukkan surat ’RAHSIA’ daripada KDN.

Bagaimanapun kata Bumburing, jawapan yang diberikan KDN lebih banyak menimbulkan persoalan baru daripada menjawab memorandum yang beliau kemukakan pada 16 Disember 2010.

”Rakyat Sabah mahu Kerajaan Persekutuan menubuhkan SSD dan itulah jawapan yang saya harapkan daripada memorandum berkenaan dan bukannya menjawab isu yang saya kemukakan di dalam memorandum tersebut secara ’Sindrom Penafian’,” tegas Bumburing yang menekankan hanya rakyat Sabah yang tahu dan mengalami masalah PATI dan kerakyatan songsang di Sabah.

Dengan menjawab memorandum yang dikemukakan beliau, kata Bumburing, seperti menambah garamn ke luka di hati rakyat Sabah yang semakin menderita akibat kehadiran lebih sejuta PATI termasuk yang mendapat kerakyatan melalui jalan songsang dan masuk secara haram ke Sabah.

Penafian demi penafian, kata Bumburing, tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Sabah kerana semua tahu bahawa isu PATI itu benar; MyKad projek itu benar; Pengundi hantu itu benar dan kebanjiran mereka itu benar sehingga mengancam keselamatan rakyat Sabah secara kesuluruhannya.

”Kita kesal kerana nyawa seorang rakyat Malaya, Teoh Beng Hock diluluskan penubuhan SSD; lebih bernilai daripada nyawa 1.3 juta rakyat tulen Sabah yang bukan sahaja takut untuk berjalan ketika malam, malah takut untuk turun mengundi kerana dibanjiri warga asing yang lebih dahulu mengundi bagi pihak mereka,” kata Bumburing yang tetap bertegas bahawa hanya SSD dapat menyelesaikan masalah Sabah.

Tegas Bumburing, jika Kerajaan Persekutuan terus berdegil dan menegakkan ’benang yang basah’ bahawa tidak wujud kerakyatan songsang dan Sindiket MyKad Projek di Sabah; maka Kerajaan Peresekutuan sewajarnya menyediakan kertas putih berhubung penangkapan 15 orang Pegawai Jabatan Pendaftaran Sabah dan 25 orang awam yang terlibat dengan Sindiket Kerakyatan Songsang pada 1995.

”15 Pegawai JPN yang dimangsakan atau menjadi ’Kambing Hitam’ untuk menghalalkan operasi Kerakyatan Songsang ini perlu dibela dan dikembalikan hak mereka kerana kesemua mereka kehilangan pencen, ganjaran dan pekerjaan disebabkan terlibat dengan Sindiket IC Projek pada 1991 sehingga 1994 dan merengkok antara satu hingga tiga tahun dalam ISA,” kata Bumburing.

Sehubungan itu, sewajarnya Kerajaan Persekutuan mengembalikan ’Kuasa Imigresen’ kepada Ketua Menteri Sabah agar masalah Sabah dapat diselesaikan oleh rakyat Sabah melalui pendekatan Sabah sendiri kerana penubuhan Task Force atau Pasukan Petugas Khas Persekutuan sebagai Ad-Hoc tidak menyelesaikan masalah yang sudah berakar umbi sejak 30 tahun lalu.

”Saya percaya, Ketua Menteri Sabah mampu menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di Sabah jika dikembalikan ’Kuasa Imigresen’ sebagaimana yang dijamin dalam 20 Perkara,” kata Bumburing yang bercadang untuk menghantar ’Altimatum’ kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah berhubung isu ini.

No comments:

Post a Comment