Wednesday 9 November 2011

TUN JUHAR, ‘RAJA SABAH’ TANPA DAULAT?


Oleh : MEDIA PAS BATU SAPI

PAS mengingatkan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah (TYT), Tun Juhar Mahiruddin supaya menjadi Ketua Negeri yang mempunyai watak dan akhlak professional yang tunduk patuh hanya kepada kehendak Penciptanya iaitu Allah s.w.t. dan membebaskan dirinya dari tanggapan konservatif yang TYT hanya sekadar memberi gelaran bintang kebesaran, menghadiri upacara rasmi dengan disajikan tarian oleh Dayang-Dayang sebagaimana yang dipertontonkan dalam drama dan wayang gambar Melayu.

Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Haji Hamzah Abdullah menekankan bahawa penyempurnaan rukun Islam ke-5 iaitu melaksanakan ibadah haji yang telah selamat dilakukan TYT hendaklah membawa perubahan fundamental kerana perkara-perkara dan perlakuan yang ditegah semasa berada di Mekah mempunyai kesinambungannya di tanah air sendiri.

“Itulah asas kepada tanda-tanda bahawa fardhu haji seseorang itu diterima Allah s.w.t. Kalaulah seseorang jemaah haji yang balik ke tanah air selepas menunaikan rukun islam ke-5 ini masih dengan perangai lamanya,” kata Haji Hamzah lagi yang kesal dengan perlakuan TYT yang tidak Islamik.

Hamzah dengan tegas menegur amalan songsang TYT yang masih bersalaman tanpa lapik dengan bukan muhrim; masih membiarkan masjid berdindingkan angin; tetap kekal dengan pemberian gelaran bintang kebesaran berdasarkan kepentingan tertentu; membiarkan masjid-masjid dikawal oleh puak sekular yang menghalang tersebarnya dakwah di rumah-rumah Allah; membiarkan pembaziran kekayaan yang diperolehi MUIS hanya dimonopli untuk puak-puak tertentu sahaja.

“Maka itu adalah alamat haji seseorang itu sekadar haji 'makan angin' atau 'melancong' sahaja,” kata Haji Hamzah yang kesal dengan senario dan kemungkaran yang berlaku di kampung kelahiran TYT, Kampung Simuning, Tambisan.

Kata Haji Hamzah lagi, TYT hendaklah berpegang kepada prinsip akauntabiliti terhadap Allah s.w.t yang meyakini bahawa jawatan tersebut merupakan sebesar-besar amanah yang diminta pertanggung jawabannya di akhirat kelak.

“Tun Juhar mesti memahami prinsip ini kerana beliau adalah anak murid kepada Tuan Guru Hj Muda, seangkatan dengan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia,” kata Haji Hamzah mengimbau kembali dakwah Islamiah di era Haji Muda masih hidup.

Sehubungan itu, PAS juga menuntut agar TYT mengeluarkan arahan ke atas JHEAINS agar tidak membelenggu masjid-masjid yang merupakan rumah Allah dari diimarahkan oleh para pendakwah, khususnya dari kalangan pemimpin PAS yang bertujuan memberi kefahaman Islam yang syumul kepada masyarakat Islam.

Haji Hamzah turut menegur cara TYT berpakaian terutama mengagungkan kain berwarna kuning sehingga telah menimbulkan pelbagai tafsiran di kalangan rakyat jelata negeri ini.

“Terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa ia mempunyai unsur-unsur khurafat yang bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam. Menganggap sesuatu lambang yang boleh memberikan kekuatan atau 'murah rezeki' adalah amalan syirik yang menjejaskan aqidah seseorang!,” kata Haji Hamzah yang menegur TYT kerana melakukan amalan yang menyimpang daripada amalan atau sunnah Rasulullah.

Menurut Haji Hamzah, warna kuning telah diwartakan sebagai ‘Warna Di Raja’ tetapi memandangkan kedudukan TYT bukanlah ‘Raja’, maka Tun Juhar tidaklah wajar menggunakan warna kuning bagi pakaian, langsir dan perabot, mangkuk piring dan sebagainya dalam urusan seharian.

“Cukuplah rakyat memandang serong TYT sebagai ‘Boneka BN’ dan tidak perlu ditambah lagi dengan amalan khurafat yang akan menjatuhkan institusi di Raja kerana semua acara rasmi Juhar menggunakan latar belakang warna kuning,” kata Haji Hamzah yang mendesak Kerajaan Negeri menasihati TYT agar tidak menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu yang berdaulat.

No comments:

Post a Comment