Saturday 19 November 2011

UMNO WAJIB SERAHKAN N50 KEPADA MCA?


Oleh : MUTALIB M.D

PENGABAIAN berterusan warga Tiong Hua di Parlimen Silam, terutama di DUN Lahad Datu telah meresahkan Parti Komponen BN yang mewakili masyarakat Cina terutama MCA dan LDP.

Pengerusi MCA Silam, Datuk Teah Heok Kuin, ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi menggesa agar Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah mendengar rayuan dan keluhan masyarakat Tiong Hua yang tersepit di celah kekangan birokrasi dan mengharapkan mereka diwakili oleh parti Cina.

“Kita sudah terlalu bosan mengadu masalah masyarakat Tiong Hua kepada Adun Lahad Datu dan Ahli Parlimen Silam. Mereka seakan tidak mempedulikan masyarakat Tiong Hua yang sering menjadi ‘King Maker’ sebarang keputusan pilihanraya DUN Lahad Datu dan Parlimen Silam,” kata Datuk Teah lagi.

Kendatipun Barisan Nasional (BN) melaungkan ‘Semangat BN’ tetapi konsep serta prinsip kerjasama di antara Parti Komponen BN tidak pernah wujud dan parti berasaskan Cina terkial-kial sendiri memperjuangkan hak asasi secara kendiri.

“MCA di Silam kini bagaikan PATI iaitu ‘Parti Asing Tanpa Izin’ di dalam Komponen BN sedangkan MCA merupakan salah satu Parti Komponen di Sabah,” kata Datuk Teah yang mendakwa BN ‘tidak wujud’ di Silam.

Ketaksuban pemimpin UMNO di Silam telah melenyapkan semangat kerjasama antara parti dan memerlukan sentuhan ajaib Ketua Menteri Sabah agar BN tidak kecundang di parlimen Silam pada pilihanraya umum akan datang.

Kata Datuk Teah, sekalipun MCA adalah parti kecil di Sabah, tetapi peranan yang dimainkan amat penting, terutama sebagai ‘penimbang tara’ kepada para peniaga yang merasa teraniaya dengan penguncupan ekonomi kerana agehan kek ekonomi yang tidak seimbang dan budaya rasuah yang menjerut mereka memaksimakan keuntungan.

Memandangkan jumlah pengundi Tiong Hua adalah kedua tertinggi selepas bumiputera Islam iaitu 14.37 peratus daripada 43,488 pemilih berdaftar di Silam, maka kata Datuk Teah, pengundi Tiong Hua menjadi penentu kepada kemenangan semua calon BN pada semua pilihanraya umum sejak 1994.

“Kini tiba masanya kerusi DUN Lahad Datu diserahkan kepada MCA, itupun jika Sabah masih mengamalkan Konsep Perkongsian Kuasa dan bukannya menafikan kuasa rakyat untuk membuat penentuan,” kata Datuk Teah yang mendesak agar Pengerusi BN Silam tidak menjadikan MCA dan LDP sebagai ‘Nasi Tambah’ atau ‘Air Cucian Tangan’ setelah kenyang makan kenduri.

No comments:

Post a Comment