Saturday 17 December 2011

129 PELAJAR NIKMATI JALINAN SAYANG IBU TUNGGAL


CEMERLANG...Azizah menyampaikan Anugerah Kemerlangan Pelajar UPSR 2011.

Oleh : ABDUL BAKAR ESAH

SERAMAI 129 pelajar dan kanak-kanak menerima bantuan pada majlis Jalinan Sayang Bersama Anak-anak Ibu Tunggal anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Beufort yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Beaufort.

Daripada jumlah itu, 105 anak-anak ibu tunggal menerima beg sekolah dan alat tulis yang disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Sementara itu 24 Komputer 1 Malaysia telah diserahkan kepada anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Azizah yang merasmikan majlis itu turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR 2011kepada empat murid yang mendapat keputusan 5A.

Dalam ucapannya, Azizah berkata kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat terhadap kebajikan rakyat yang kurang bernasib baik termasuklah keruncingan hidup ibu-ibu tunggal.

“Bagi meringankan bebanan rakyat pelbagai inisiatif dan insentif telah dibentangkan dalam belanjawan 2012. bermula januari 2012, kerajaan akan menyalurkan bantuan rm500 kepada isi rumah berpendapatan RM3000 ke bawah yang saya percaya ibu-ibu di sini turut mendapat manfaatnya.

“Begitu juga dengan pelaksanaan sistem pendidikan rendah dan menengah secara percuma menerusi pemansuhan yuran-yuran sekolah mulai sesi persekolahan 2012. Anak-anak yang bersekolah sama ada di peringkat rendah dan menengah dari turut mendapat bantuan persekolahan RM100.

“Pelajar di universiti, matrikulasi dan tingkatan enam pula akan menerima baucer RM200 untuk membeli buku teks. semua ini adalah berkat keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat dalam usaha untuk memastikan tidak ada kelompok yang tercicir daripada menikmati hasil kemajuan negara dan meringankan beban kesan daripada peningkatan kos sara hidup,” katanya.

CELIK IT....Azizah menyampaikan Komputer 1 Malaysia kepada seorang anak yatim.

KEJAYAAN.....Empat pelajar cemerlang UPSR 2011 merakamkan kenangan bersama Azizah dan jemputan.

Azizah yang juga Adun Klias itu berkata kerajaan juga telah meletakkan sasaran untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat melalui pelbagai program yang dianjurkan jabatan-jabatan dan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan usaha-usaha pembasmian kemiskinan dapat dicapai.

“Dengan kata lain kerajaan ingin menyediakan pancing supaya agar puan-puan dapat menambahkan rezeki dengan memancing di lubuk-lubuk yang banyak ikan. sebaliknya kalau bergantung kepada pemberian ikan semata-mata, setelah habis bekalan ikan tersebut, tiada lagi sumber untuk dimakan. sebab itulah, kita tidak boleh bergantung kepada bantuan semata-mata tetapi perlu berusaha untuk merubah ekonomi diri dan keluarga. kita harus sedar bahawa tuhan tidak mengubah nasib seseorang melainkan kita sendiri berusaha bersungguh-sungguh mengubahnya,” katanya.

Seterusnya beliau menyeru agar ibu-ibu berikhtiar dan bijak dalam merebut peluang-peluang yang disediakan oleh jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.

“Kita tidak boleh lagi menggunakan alasan tiada kemahiran kerana banyak peluang-peluang kemahiran dan latihan disediakan pada hari ini. malahan tidak semua perniagaan memerlukan premis. ramai yang telah membuktikan kejayaan dengan mengusahakan perniagaan dari rumah.

“Di samping itu, kemudahan-kemudahan pinjaman bagi memulakan sesuatu perniagaan juga disediakan menerusi agensi-agensi seperti Yayasan Usaha Maju (YUM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun, Mara dan sebagainya. semua ini bergantung kepada kita semua, sama ada kita mahu berubah ke arah yang lebih baik atau terus berada di takuk lama dengan hanya mengharapkan bantuan dan belas ihsan,” katanya.

No comments:

Post a Comment