Thursday 8 December 2011

235,908 INDIVIDU BANKRAP SEHINGGA OKTOBER 2011



SETAKAT Oktober tahun ini, seramai 235,908 individu diisytiharkan bankrap di negara ini, kata Ketua Pengarah Insolvensi Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Beliau berkata berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), punca utama yang melibatkan kebankrapan ialah pinjaman sewa beli iaitu 26 peratus, diikuti pinjaman peribadi (21 peratus), pinjaman perumahan (14 peratus) dan pinjaman lain termasuk pinjaman perniagaan dan penjamin korporat.

"Ini meletakkan Malaysia antara negara yang mempunyai jumlah kebankrapan yang tinggi berbanding dengan negara lain iaitu puratanya 41 individu diisytiharkan bankrap setiap hari.

"Bagaimanapun, keadaan ini belum mencapai tahap yang membimbangkan. Ini kerana di negara lain termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Thailand mempunyai peruntukan undang-undang yang membolehkan pelepasan daripada kebankrapan secara otomotik bagi tempoh tertentu. Sebab itu jumlah kes kebankrapan di negara tersebut agak rendah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dialog berkaitan insolvensi di Kompleks Pentabdiran Persekutuan di Likas, hari ini.

Abdul Karim berkata sejak tahun 2005 hingga Oktober tahun ini, sejumlah 14,000 kes berjaya dilepaskan daripada bankrap atas budi bicara Ketua Pengarah JIM.

Budi bicara itu merujuk kepada orang yang bankrap membayar pinjaman secara berterusan lebih daripada lima tahun dan mereka memberikan kerjasama yang baik kepada JIM.

Abdul Karim berkata bagi Sabah, sebanyak 12,081 kes kebankrapan dilaporkan sehingga Oktober tahun ini, dan daripada jumlah itu, 832 kes berjaya dilepaskan.

Beliau berkata terdapat kurang daripada 20 peratus mereka yang terlibat dalam kes kebankrapan yang hadir dan memberi kerjasama kepada JIM.

Ini memberi impak kepada keberkesanan pentadbiran insolvensi yang kini mempunyai kekangan daripada segi sumber manusia, katanya.

Abdul Karim berkata kerajaan juga sedang mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 dalam usaha membantu mereka yang diisytiharkan bankrap meneruskan hidup tanpa bebanan hutang termasuk pelepasan secara automatik.

"Perkara ini masih di peringkat kajian dan sebahagian daripada undang-undang yang dicadangkan sudahpun dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian," katanya.

No comments:

Post a Comment