Sunday 18 December 2011

99 % RAKYAT SABAH MAHU AKSES SATELIT



TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Yee Moh Chai berkata 99 peratus penduduk Sabah mahukan kebebasan dalam akses pada maklumat khasnya menerusi khidmat satelit.

Yee yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat berkata peratus ini diperoleh menerusi bancian yang dijalankan oleh kementeriannya.

"Saya sendiri akan memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai pentingnya pengunaan piring satelit di negeri ini termasuk membincangkan perkara berkaitan pengawalan pengedaran khidmat itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival ‘Siok Bah Broadband’ di Kota Kinabalu, kelmarin.

Katanya beliau juga akan memaklumkan mengenai perkara ini kepada pihak lain yang berkenaan.

"Mengenai undang-undang berkaitan kawalan pengedaran khidmat satelit, saya akan pastikan, ia akan dipinda mengikut keperluan dan mengikut keadaan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Yee berkata keperluan menggunakan khidmat satelit kian meningkat khasnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak di mana signal telekomunikasi sangat rendah.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dalam teks ucapan berkata sehingga 30 Nov, penerapan isi rumah internet jalur lebar di Sabah ialah 32.7 peratus sementara mereka yang melanggan internet jalur lebar mencecah 293,400.

"Tahun ini, 19 Pusat Komuniti Jalur Lebar (CBC), 23 Mini CBC dan 131 kampung Wi-Fi berjaya diwujudkan di Sabah," kata beliau dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Khidmat dan Sokongan MCMC Tengku Zaib Raja Ahmad.

Mohamed Sharil juga berkata di Sabah, 246 menara telekomunikasi dibina dan kira-kira 60,000 komputer riba diagih-agihkan di bawah Program Netbook 1Malaysia. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment