Monday 12 December 2011

AIR ASIA GANTI FIREFLY DI SANDAKAN



AIR ASIA......Ekoran Firefly memberhentikan operasinya KL-SDK-KL Air ASIA menawarkan penerbangan kekerapan 14 kali seminggu.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata pada 1 Disember 2011 Syarikat Penerbangan Firefly telah memberhentikan operasi laluan penerbangan menghubungkan antara Kuala Lumpur (KLIA)-Sandakan-Kuala Lumpur (KLIA) dan sektor laluan ini telah dimulakan pada 1 Ogos 2011.

“Saya berpendapat bahawa pemberhentian laluan penerbangan Kuala Lumpur-Sandakan-Kuala Lumpur telah memberikan kerumitan khasnya kepada penduduk Sandakan yang kerap menggunakan penerbangan domestik ini.

Berdasarkan pertemuan beliau dengan masyarakat tempatan di Sandakan, V.K.Liew menerima keluhan ramai pengguna disebabkan tindakan Firefly yang bertindak memberhentikan perkhidmatannya; yang merupakan laluan utama menghubungkan antara Sandakan secara terus dengan Kuala Lumpur.

VK Liew juga telah dihubungi oleh beberapa penumpang yang telah membuat tempahan online Firefly sebelum penutupan laluan antara KL-Sandakan; kini kerugian wang mereka setelah operasi Firefly diberhentikan.

Tambah Liew lagi, secara tidak langsung senario ini mengakibatkan kehadiran para pelancong luar dan dalam ke Sandakan terus berkurangan (merosot) dan tindakan Firefly berbuat demikian telah memberi impak terhadap ekonomi masyarakat tempatan.

Dalam pemerhatiannya di laman web http://firefly.com.my, V.K.Liew memaklumkan tiada lagi penerbangan yang menghubungkan antara Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak menerusi Firefly.

Katanya lagi, pemberhentian laluan Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak berlaku akibat daripada tindakan Firefly menutup perkhidmatan penerbangannya ke Sabah dan Sarawak dan hanya menumpukan perkhidmatannya di Semenanjung sahaja.

“Selain itu, terdapat lima destinasi ASEAN iaitu Batam, Koh Samui, Medan, Pekan Baru dan Singapura. Saya turut difahamkan bahawa pemberhentian penerbangan Kuala Lumpur-Sandakan-Kuala Lumpur ini berikutan daripada kekurangan penumpang yang menggunakan sektor ini,” katanya kepada Sabahkini.net.

Kelmarin VK Liew dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Seri Kong Cho Ha bahawa pemberhentian laluan tersebut telahpun dimaklumkan dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kata V.K.Liew, Kabinet berpendapat Firefly hendaklah mengambil kira bebanan rakyat tetapi tidak boleh mencampuri urusan perniagaan syarikat penerbangan tersebut yang rugi akibat kekurangan penumpang.

Dengan pemberhentian laluan penerbangan Kuala Lumpur-Sandakan-Kuala Lumpur, kata VK Liew, kini Air ASIA menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus dari KL (LCCT) Sandakan–KL (LCCT) dengan kekerapan 14 kali seminggu.

Laluan-laluan yang sedia ada iaitu Kota Kinabalu-Sandakan-Kota Kinabalu yang ditawarkan oleh MAS Wings, MAS dan Air ASIA adalah dijangkakan tidak berubah seperti berikut;

-MASWings menawarkan penerbangan dengan kekerapan 28 kali seminggu (ATAR 72) dan 2 kali seminggu (Twin Otter)

-MAS menawarkan penerbangan dengan kekerapan 14 kali seminggu

-Air ASIA menawarkan penerbangan dengan kekerapan 14 kali dalam seminggu.

Bagaimanapun, V.K.Liew akan berusaha sedaya upaya demi masyarakat tempatan, untuk berbincang dengan MAS bagi mendapatkan sekurang-kurangnya penerbangan terus KL-SDK-KL dengan kekerapan dua kali seminggu.

“Berdasarkan pengalaman saya, apabila bertemu dengan para pelancong ketika menggunakan perkhidmatan Firefly sebelum ini, saya mendapati Sandakan terus menjadi satu destinasi yang menawarkan kepelbagaian produk pelancongan, terutamanya produk alam semula jadi dan juga fauna yang hanya terdapat di Sandakan. Tindakan Firefly memberhentikan penerbangannya sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan perniagaan mereka,” katanya.

V.K.Liew turut berjanji akan berusaha membantu penumpang yang membuat tempahan online untuk mendapatkan balik tambang yang telah bayar kepada Firefly sebelum penutupan laluan tersebut.

“Saya berharap mereka yang telah membuat pembayaran secara online atau counterpayment agar dapat berhubung dengan saya di Pejabat Ahli Parlimen Sandakan di Batu 1.5, Jalan Utara Sandakan atau menelefon saya melalui 089-222186 untuk memberikan butir-butir bayaran bagi membolehkan saya membantu mereka membuat tuntutan daripada Firefly,” tegasnya.

V.K.Liew benar-benar merasa kecewa dan kesal dengan keputusan Firefly yang telah memberhentikan terus laluan sektor KL-SDK-KL selepas beroperasi hanya beberapa bulan sahaja.

“Keuntungan tidak menjadi isu utama, sebaliknya kepentingan rakyat tempatan Sandakan seharusnya diberikan perhatian utama dan saya akan membawa perkara ini keperhatian MAS demi kepentingan rakyat di Sandakan secara keseluruhannya,” jelas V.K.Liew lagi.

No comments:

Post a Comment