Wednesday 7 December 2011

‘BAJA CUKUP, HASIL MELONJAK’ TETAPI RAKYAT TERSISIH!



SIMBOLIK...Masiung kelihatan sedang menyiram bibit anak pokok getah yang ditanamnya.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

LANGKAH agensi-agensi kerajaan memberikan pelbagai bantuan kepada para petani dan peladang, merupakan satu altenatif kerajaan untuk membela rakyat terus maju ke hadapan dalam menceburi pelbagai bidang, khususnya pertanian di negeri ini, termasuk Kuamut.

“Kita amat alu-alukan usaha sebegini yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, setidak-tidaknya para pekebun kecil terutama sekali dalam kebun getah merasa lega sedikit kerana pihak kerajaan, khususnya RISDA akan memberi bantuan kepada pemilik-pemilik tanah; sama ada yang sudah ditanami oleh pokok-pokok getah ataupun yang baru bermula mengusahakan tanaman getah mereka,” ujar ADUN Kuamut, Masiung Banah ketika merasmikan Majlis Gerakan Kempen Mara Membaja anjuran RISDA Sandakan yang bertemakan ‘Baja Cukup, Hasil Melonjak’ yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna Kampung Semundoh, Tongod, kelmarin.

Tetapi jelas Masiung, agensi-agensi kerajaan seperti RISDA, FELCRA, Jabatan Pertanian dan beberapa agensi kerajaan yang lainnya hanya mengutamakan kepada para pemilik tanah yang mempunyai geran sahaja untuk mendapatkan bantuan sedemikian.

Manakala mereka yang mempunyai tanah tidak bergeran seperti tanah adat (NCR) yang sudah ditanami oleh kelapa sawit, getah dan sebagainya sejak lebih 40 tahun lalu terus terpinggir untuk mendapatkan bantuan daripada agensi-agnesi berkenaan kerana tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Sasaran kerajaan untuk menyalurkan bantuan terus kepada para pekebun dan para petani hanya di tahap 20 peratus sahaja kerana 80 peratus terpinggir disebabkan karenah birokrasi kerajaan termasuk masalah gerah tanah. Inilah masalahnya,” tegas Masiung lagi.

“Seperti yang diperkatakan oleh Pegawai RISDA sebentar tadi, pihaknya telah menyediakan banyak program, contohnya seperti program Bantuan Tanam Semula Getah ke Getah dengan keluasan 1/4 ekar hingga 99.99 ekar. Syarat untuk mendapatkan bantuan tanam semula mereka mesti mempunyai geran tanah yang sah, mempunyai getah tua bertoreh atau pengeluaran tidak ekonomik,” kata Masiung yang kesal kerana penduduk tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan.

KENANGAN…. Barisan Kakitangan RISDA dan Masyarakat Kampung bergambar bersama dengan Masiung.

HADIR….. Awang Gariman (dua dari kiri) Ketua Bahagian PBS Kuamut turut hadir pada majlis tersebut.

CENDERAHATI....Masiung menerima cenderahati daripada pegawai RISDA.

Sehubungan itu, kata Masiung, beliau merayu jasa baik agensi kerajaan, termasuk RISDA agar dapat memberikan kelonggaran syarat kepada para pengusaha tanah yang tidak mempunyai geran yang sah atau geran-geran tanah mereka masih dalam proses agar diberikan keutamaan dan pertimbangan sewajarnya untuk menikmati mendapat bantuan daripada agensi-agensi berkenaan.

“Kita sedia maklum 60 peratus petani atau pekebun yang sudah berjaya mengusahakan kebun-kebun mereka, sama ada kelapa sawit mahupun getah. Tetapi mereka belum memiliki geran yang sah. Saya fikir tidak salah jika RISDA mendapat pengesahan daripada Ketua Kampung sebagai kelonggaran syarat,” rayu Masiung.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kuamut, CDO Majid dan Pegawai Perhubungan ADUN Kuamut yang juga selaku Ketua Bahagian PBS Kuamut Awang Gariman.

No comments:

Post a Comment