Tuesday 13 December 2011

‘BANGUNAN HARAM’ SEMAKIN BERLELUASA DI LAHAD DATU?


ISTIMEWA....Kedai sementara ini didirikan di Open Space bersebelahan Bank Islam Lahad Datu seolah-olah tiada premis perniagaan yang kosong.


Oleh : IKRAM MUHAMMAD BACHI

RASUAH menjadi punca utama wujudnya bangunan haram dan bangunan yang diubahsuai secara haram di Lahad Datu, seolah-olah tidak wujud Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB).

Mendedahkan perkara ini, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Citra Masadi, menyifatkan MDLD sebagai pihak berkuasa tempatan yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan dan masih melaksanakan ‘Hukum Rimba’ iaitu menutup mata kepada jenayah yang dilakukan oleh mereka yang sanggup menawarkan rasuah.

“Ada pihak yang membayar sehingga RM15,000 kepada Penyelia MDLD untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengubahsuaian rumah atau kedainya; atau menyediakan pelan palsu sekadar memenuhi syarat,” kata Citra yang menerima pelbagai aduan awam.

Kata Citra, jika Hotel Silam Dynasty yang berada di tengah Bandar Lahad Datu boleh beroperasi tanpa O.C, apatah lagi bangunan yang diubahsuai secara haram di Jalan Dam, di Pekan Tabanac dan Taman Perdana.

‘Di Lahad Datu, ada wang semua boleh jadi kerana ada wang semua boleh dibeli. Merinyu kesihatan boleh sediakan pelan dan luluskan. Pengerusi Majlis Daerah pula boleh ‘tutup mata’ dan tinggal secara percuma di Hotel yang pelan ubahsuainya belum diluluskan. Apa ertinya semua ini?” tanya Citra yang mendedahkan MDLD kehilangan puluhan juta ringgit setahun kerana 90 peratus bangunan yang diubahsuai dan bangunan baru didirikan secara haram tidak membayar sebarang kadaran disebabkan rasuah yang membudaya.

CUCI....Kompoun MDLD digunakan sebagai tempat mencuci kereta yang diswastakan kepada kroni Pegawai MDLD.

HARAM....Binaan tambahan Mini Market Dam dibuat secara haram sejak 10 tahun lalu.

SETINGGAN....Rumah setinggan ini didirikan berdekatan lampu trafik Sungai Pancuran.

Citra turut kesal dengan tindakan MDLD membenarkan kawasan lapang seperti di kompoun bangunan MDLD digunakan sebagai tempat mencuci kereta dan kawasan lapang di sebelah Bank Islam di Bandar Wilayah Jasa digunakan untuk membina rumah kedai sementara.

“Dalam keadaan banyak premis perniagaan yang kosong, MDLD tidak sewajarnya membenarkan kawasan lapang digunakan untuk tujuan perniagaan, seolah-olah kita berada di zaman koboi ‘High Chaparral’ yang hanya memberi kebenaran kepada mereka yang boleh menawarkan rasuah,” kata Citra lagi.

Sehubungan itu, Citra mendesak agar Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) menubuhkan ‘Task Force’ untuk menjalankan siasatan ketirisan pendapatan MDLD sekalipun mempunyai kawasan percukaian yang luas.

“Jika dahulu MDLD dibanggakan sebagai pihak berkuasa tempatan yang kaya dan mampu meminjamkan wang kepada Majlis Perbandaran di Sabah, tetapi kini mereka papa kedana kerana amalan rasuah yang bermula daripada Pengerusi sehinggalah kepada pekerja Am,” kata Citra yang kesal dengan pertambahan penjaja dan peniaga haram, daripada hadapan pasar sehinggalah ke hadapan pondok polis.

No comments:

Post a Comment