Thursday 15 December 2011

BATERI TERPAKAI ‘TABOO’ DI MALAYA?



Oleh : JAYANTHI GEETA SUKUMARAN

RAKYAT Sabah yang terperangkap dengan penipuan dan dikelirukan dengan berita bahawa bateri asid plumbum yang digunakan dalam Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) tidak berbahaya dan setaraf dengan bateri kenderaan disaran agar mengunjungi sempadan negara, terutama di Wang Kelian, Perlis.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Citra Masadi yang menghubung Sabahkini.net daripada wilayah Satun, Thailand membuat gesaan demikian setelah mendapati satu notis amaran dipasang di perbatasan negara.

“Saya terperanjat melihat satu papantanda yang memaklumkan Notis Larangan mengangkut bateri kenderaan terpakai tanpa lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Malaysia yang dipasang di pintu masuk ke Malaysia di Wang Kelian, Perlis,” kata Citra.

Menurut Citra, notis tersebut memaklumkan bahawa perbuatan mengangkut bateri kenderaan terpakai dengan sebarang jenis pengangkutan ke dalam atau ke luar daripada Malaysia tanpa lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 18 (1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya,” kata Citra tetapi tidak ada satupun notis ini dipasang di Sabah yang menjadi pusat lambakan bateri terpakai.

Persoalan yang menarik untuk dikaji kata Citra ialah Kerajaan Sabah membenarkan atau tidak menyedari menyetujui bahawa bateri asid plumbum telah dibawa masuk dalam skala yang besar ke Sabah; sedangkan Sabah tidak mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum.

Selepas enam bulan atau setahun, kata Citra, di mana kontraktor pembekal akan melupuskan bateri berkenaan kerana mengikut Jabatan Alam Sekitar pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen kepada mana-mana syarikat untuk melupuskan bateri asid plumbum di Sabah.

“Kita ingin tahu kenapa bateri berkenaan dibenarkan masuk ke Sabah tetapi bateri terpakai tidak boleh dibawa keluar atau masuk ke Sabah, tetapi tiada sebarang notis bertulis di pasang di pelabuhan atau lokasi pelupusan sampah,” tanya Citra yang membidas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta pegawai kanannya yang menyamakan bateri asid plumbum dalam projek solar hibrid di Sabah setaraf dengan bateri kereta.

Menurut Citra, kanak-kanak Tadika pun tahu membezakan bahaya bateri kereta dengan bateri solar hibrid kerana fungsinya amat berbeza iaitu untuk menghidupkan kereta dan yang satu lagi untuk menyimpan dan menjana tenaga di waktu malam.

Sehubungan itu, tegas Citra, Kerajaan Negeri Sabah hendaklah menggubal dasar untuk menghalang kemasukan bahan plumbum ke Sabah, terutama bateri asid plumbum melainkan Sabah bersedia membina Pusat Pelupusan Plumbum.

“Jangan sampai rakyat Sabah menjadi mangsa kebebalan Menteri Kabinet Sabah dan menunggu masa yang terlalu lama, sekalipun sudah menghantar pegawai ke Perak yang telah mengharamkan penggunaan plumbum dalam industri penjanaan tenaga,” kata Citra yang bimbang jika keracunan plumbum menjadi wabak yang sukar dikawal kerana rasuah memainkan peranan penting sebagai pemusnah generasi.

No comments:

Post a Comment