Friday 2 December 2011

BATUK KERING TIDAK MENGENAL MANGSA


Oleh : SHAIMON JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

AHMAD bin Junait, 9, yang menghidap penyakit Batuk Kering (TB) semakin kritikal dan tidak sedarkan diri sejak 4 hari lalu dan kini dirawat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Ibunya, Saadah Hapil, 45, berketurunan Bajau Filipina ketika ditemui Sabahkini.Net di Hospital Duchess of Kent sempat menceritakan mengenai nasib malang yang menimpa anaknya itu.

Kata ibu kepada 10 orang anak itu, setahun yang lalu saudara perempuan suaminya yang menghidapi penyakit TB sering bertandang ke rumah mereka dan makan tidur bersama mereka, tetapi beliau sama sekali tidak menyangka, anak lelakinya telah dijangkiti kuman TB daripada makciknya yang kini telah meninggal dunia.

“Ahmad pernah dimasukan ke wad hospital untuk mendapatkan rawatan rapi daripada doktor berkenaan selama tiga bulan, tetapi anak saya masih tidak berubah malahan tubuh badan anaknya semakin mengurus sehingga tidak sedarkan diri,” kata Saadah dalam nada sebak.

Oleh kerana suaminya, Junait hanya bekerja sebagai buruh binaan dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap, maka Saadah terpaksa berserah kepada takdir Ilahi untuk menentukan nasib Ahmad; apatah lagi para doktor dan kakitangan hospital memang mengambil berat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyembuhkan penyakit anaknya.

LAWAT....Dr Lindai turut meluangkan masa melawat Ahmad yang terlantar di katil dan mengagehkan buah tangan untuk semua pesakit.

Dalam pada itu seramai 40 kanak-kanak yang terlantar di Wad Hospital Duchess of Kent telah menerima bungkusan berupa makanan ringan sumbangan daripada Datin Dr Lindai Lee isteri kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong kelmarin.

Dr Lindai menjelaskan hadiah tersebut merupakan sumbangan untuk meraikan hari Natal (Krismas) yang bakal disambut pada 25 Disember ini.

“Saya amat simpati kepada anak-anak yang mengidapi pelbagai jenis penyakit dan diharap kepada kedua ibubapa mereka harus tabah menghadapi masalah sebegini ini semuanya adalah ujian daripada Tuhan yang Maha Esa,” jelasnya.

Ketibaan Lindai dan rombongannya telah disambut oleh para doktor dan kakitangan hospital berkenaan yang diketuai oleh Pengarahnya, Dr Zorinah.

Pertemuan hampir dua jam itu Dr. Lindai sempat mengadakan perbincangan tidak formal dengan Dr Zorinah mengenai prasarana dan juga tentang kekurangan doktor tempatan yang berkhidmat di hospital berkenaan.

No comments:

Post a Comment