Tuesday 20 December 2011

CHEGUBARD HARUS KETUA GERAKAN 901



Oleh : AZMAN ARIFFIN

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) pada 16 Disember telah melancarkan Gerakan Membebaskan Anwar 901 (Gerakan 901), gerakan besar-besaran menandakan kebangkitan rakyat pada 9 Januari 2012, tarikh bagi Hakim Dato’ Zabidi Md Diah dijangka membuat keputusan berhubung pertuduhan liwat yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penulis sambut baik dengan pelancaran gerakan ini kerana ia bakal memberi mesej yang keras kepada kerajaan bahawa rakyat menolak sebarang bentuk penyalahgunaan Mahkamah untuk menjatuhkan karier politik pemimpin pembangkang atau pendeknya, konspirasi politik melalui perundangan.

Walaupun cuba dinafikan oleh Ketua Peguambela, Karpal Singh yang teori konspirasi itu wujud, tapi rakyat tahu ini sememangnya konspirasi peringkat tertinggi.

Sama seperti orang lain, penulis yakin bahawa Datuk Seri Anwar akan didapati bersalah oleh mahkamah, bukan kerana benar-benar terlibat tapi kerana semuanya sudah diatur sebegitu rupa untuk mewajarkan dirinya ke penjara.

Di samping kelemahan pasukan pembelaan yang gagal sama sekali memfokus kepada fakta teknikal berhubung penemuan DNA di dalam dubur Saiful, sebaliknya lebih berminat mempertikaikan seksyen mana yang betul.

Penulis mempunyai pengalaman terlibat dalam kebangkitan rakyat yang pertama pada tahun 1998/1999 dahulu. Jadi penulis tahu sedikit sebanyak karektor bagaimana yang diperlukan untuk mengetuai gerakan sebesar itu, yang kini mahu diadakan semula melalui Gerakan 901.

Dahulu PKR tidak ada masalah ini kerana kita mempunyai Ezam, Zulkifli Nordin, Tian Chua dan Roslan Kasim untuk mengetuai gerakan di depan dan belakang tabir sehingga mencapai kejayaan yang dimahukan. Bagaimanapun selain Tian Chua, karektor lain yang disebutkan telah terpaling hatinya dari perjuangan akibat dari kegagalan menolak pengaruh wang ringgit yang ditabur UMNO.

Malah ganjaran pangkat dan kedudukan sebagai balasan kepada pengkhianatan.

Terus terang, penulis tidak melihat karektor itu wujud dalam diri Shamsul Iskandar, merangkap Ketua AMK. Justeru penulis tidak tahu bagaimana Shamsul mampu memimpin gerakan itu nanti. Sekarang pun Shamsul gagal memastikan kehadiran ribuan pemuda PKR pimpinannya untuk memberi sokongan kepada Anwar di mahkamah.

Tidak seperti yang berjaya dilakukan Ezam dalam perbicaraan fitnah pertama dahulu, ruang legar mahkamah dan kawasan sekitarnya akan dipenuhi oleh rakyat yang tidak boleh menerima penghinaan sedemikian dilakukan ke atas pemimpin seperti Datuk Seri Anwar.

Kalau pun ada kelebihan Shamsul yang boleh disebut, beliau tidak pernah gagal menjadi yang terawal sampai ke mahkamah setiap kali prosiding Anwar berlangsung dan tidak lupa bergambar di sebelahnya sebaik prosiding berakhir, itu sahajalah.

Bagaimanapun penulis melihat ciri-ciri itu ada pada Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard. Penulis tidak tahulah pandangan orang tapi bukan calang-calang orang yang boleh mengarahkan mahasiswa untuk menurunkan bendera dengan gambar Najib di bangunan keramat UMNO, PWTC, kalau bukan Chegubard.

Begitu juga halnya dalam isu cincin jutaan ringgit Rosmah Mansor, siapa yang berani ke depan kalau bukan Chegubard. Sementara Shamsul pula tidak ada apa kelebihan lain yang boleh dicakapkan melainkan kepetahan berucap, sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang peguam.

Orang yang boleh mengetuai Gerakan sebesar ini perlu mempunyai ‘Jiwa Revolusi’ dan berani menghadapi semua cabaran yang datang. Tidak setakat itu, individu tersebut juga mampu mempengaruhi orang lain agar ‘sejiwa’ dengannya.

Setakat pagi dimasukkan ke penjara tapi keluar sebelum senja, itu bukan gambaran kepada ‘Jiwa Revolusi’ yang penulis maksudkan. Ezam sebagai contoh, berulang kali ditahan di lokap, termasuk ditahan selama 2 tahun di bawah ISA kerana disyaki menjadi dalang yang pencetus kebangkitan rakyat pada 1999.

Mungkin Chegubard tidak sampai ke tahap ditahan di bawah ISA sepertimana Ezam, tapi setakat yang penulis lihat Chegubard ada ciri-ciri keberanian yang hampir menyamai Ezam pada waktunya dulu.

Lebih lagi beliau memimpin pelbagai gerakan orang muda seperti SAMM dan sebagainya di samping penglibatan aktif sebagai Ketua Cabang PKR Rembau.

Selain kekurangan dari segi ‘Jiwa Revolusi’, Shamsul juga adalah pegawai mahkamah (peguam) dalam masa yang sama. Penglibatannya secara terang terangan membantah keputusan mahkamah hanya akan mendatangkan konflik kepentingan keadanya kerana ini bukan demonstrasi biasa; tetapi demonstrasi membantah keputusan mahkamah dan sistem di sebaliknya, sistem sama kerana dalam masa yang sama Shamsul telah bersumpah untuk melindunginya.

Tidak hairan kenapa Blogger Tukar Tiub melontarkan cabaran kepada Shamsul untuk menjayakan Gerakan ini, meniru kejayaan sama yang penah dicapai sekitar 1998–2001 dulu.

Cabaran sedemikian tidak perlu sebenarnya kalau blogger Tukar Tiub (Hishamuddin Rais) yakin Shamsul mempunyai ‘Jiwa Revolusi’ yang penulis sebutkan. Sebagai antara tenaga penggerak reformasi 1998 bersama Ezam, Hishammudin tentu tahu yang Shamsul jauh dari layak untuk mengetuai gerakan sebegini.

Perlu diakui, Ezam dulu telah meletakkan standard yang tinggi dalam soal mengadakan demonstrasi besar-besaran membela Anwar dan ini bukan mudah untuk Shamsul menjejakinya; lebih lagi dalam posisinya sekarang. Justeru lebih baik Shamsul menyerahkan Chegubard untuk menakhodai pergerakan ini, sementara dia sendiri memainkan peranan di belakang tabir sahaja.

No comments:

Post a Comment