Sunday 4 December 2011

‘COMMUNITY DRUMMING’, PROJEK ATAS ANGIN?



Oleh : JAMES KAMIRON

WALAUPUN keputusan muktamad hanya dikeluarkan selepas 25 November lalu, namun sebuah syarikat di pedalaman, Gali Hasil telahpun mengetahui mereka bakal melaksanakan ‘Projek Community Drumming’ di pedalaman merangkumi Tambunan, Keningau, Sook dan Nabawan.

Pembekalan minyak petrol dan diesel ke kawasan pedalaman dibuka untuk ditender secara terbuka oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tetapi yang menghairankan masih ada dua minggu sebelum KPDNKKK membuat keputusan pembekal yang layak, tetapi Gali Hasil telah pun mengetahui keputusan tersebut.

Penjualan dan pembelian minyak menggunakan drum, jerry can dan botol oleh penduduk di kawasan pedalaman dan tanah tinggi adalah satu amalan rutin. Penduduk membeli dari penjual tanpa lesen di kampung-kampung, di tepi jalan atau tepi sungai pada harga yang lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan bandar.

Harga jualan adalah berbeza dan lebih tinggi, mengikut topografi dan infrastruktur kawasan disebabkan oleh kos logistik yang tinggi disebabkan tiada skala ekonomi untuk mengangkut minyak dari kawasan bandar ke pusat penjualan sediakala di luar Bandar; melainkan melalui pengangkutan awam seperti bas dan kereta sapu.

Pelaksanaan ‘Projek Community Drumming’ melibatkan KPDNKK melantik syarikat pembekal atau pengedar untuk memasarkan terus minyak dalam drum kepada pengusaha ‘drumming’ atau ‘Point of Sales’ (POS) di kawasan yang telah dikenalpasti sesuai dan perlu memasarkan bahan api tersebut kepada penduduk di luar bandar pada kadar harga ‘Pump Price’ atau stesen minyak.

Lokasi POS ini perlu strategik untuk mencapai beberapa kampung sekitar. Setiap POS akan menikmati margin keuntungan sebanyak 10 sen seliter yang ditangggung oleh Kerajaan di samping kos-kos pengangkutan menghantar drum ke POS.

Usaha ini hanyalah langkah awal KPDNKK dalam memastikan penduduk luar bandar khususnya di Parlimen Kimanis dapat menikmati harga Petrol dan Diesel padar kadar Stesen.

Gali Hasil telah pun memaklumkan kepada stesen-stesen pembekal minyak di pedalaman bahawa syarikat itu telah berjaya mendapat tender tersebut dan hampir kesemua zon di pedalaman telah ‘disapu’ oleh syarikat tersebut.

Menurut sumber yang dipercayai, terdapat ‘Orang Dalam’ di KPDNKK mahukan komisen daripada setiap liter minyak yang disubsidikan kerajaan; malah ada sumber sahih yang mendakwa ‘Orang Dalam’ meminta ‘Pengkeras’ (Rasuah) sehingga RM60,000 untuk dibahagikan sesama mereka sebelum syarikat tersebut dipilih.

Syarikat itu meskipun belum lagi mendapat keputusan muktamad pada 25 November lalu, kini berusaha mendapatkan drum kosong sebanyak 80 biji kerana tidak lama lagi akan memulakan projek tersebut.

Dalam hal ini, sewajarnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk campur dan memulakan siasatan sebagai langkah pengecahan sebelum rasuah yang sudah membudaya di KPDNKK menunjangi ‘Projek Community Drumming’; malah mencerminkan tiada ketelusan dalam tender terbuka yang dibuat oleh kerajaan persekutuan.

Rasuah berleluasa di KPDNKK Sabah bukan lagi rahsia, malah ada syarikat yang mendakwa secara terbuka telah membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan projek tersebut.

Persoalannya, mampukah syarikat ini memenuhi keperluan masyarakat di luar bandar sedangkan selama ini banyak syarikat yang membuat keuntungan ‘atas angin’, untuk mendapatkan ‘harga subsidi’ yang diberikan kerajaan kepada rakyat; sebaliknya minyak tersebut diselewengkan ke tempat lain untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dan memungut kembali wang pengkeras.

Modus operandi yang dikesan Sabahkini.net; di atas kertas memang para pegawai menemuduga bakal pembekal; namun ironinya, pegawai berkenaan secara terus terang meletakkan syarat terlindung iaitu RM60,000 sebagai ‘pengkeras’, hanya sejumlah kecil berbanding jumlah keuntungan yang bakal diterima pembekal jika mendapat projek tersebut.

Beberapa orang dalam telah dikenalpasti melakukan pengkhianatan kerana kental dengan budaya rasuah akan memberi keputusan yang berat sebelah, memihak kepada pembekal yang berjaya menghulurkan pengkeras yang banyak.

“Hanya mereka yang memberikan wang layak diberikan pertimbangan dalam tender itu, meskipun kertas kerja yang diberikan berpandukan taklimat yang dibuat sendiri oleh pengarah dan seorang pegawai kanan KPDNKK sebelum ini,” kata seorang pembekal yang turut serta dalam tender berkenaan.

Katanya, KPDNKK tidak berlaku adil kepada para penender kerana meskipun memberi taklimat secara terbuka dan diminta mengemukakan dokumen cadangan; para pembida yang tidak mempunyai hubungan baik dengan ahli panel tetap tersungkur kerana mereka tidak mampu menghulurkan rasuah.

“Bukankah itu satu jenayah perdagangan dan dalam soal ini beberapa orang dalam perdagangan telah menggalakkan rasuah terancang yang sangat memalukan dan memualkan,” kata pembida yang gagal tersebut.

Pembida tersebut menggesa Pengarah KPDNKK Sabah, Jaafar Walad, agar menyiasat dan mengkaji sepenuhnya adakah syarikat yang berjaya mendapatkan tender itu benar-benar layak atau dipengaruhi permainan wang di kalangan pegawainya.

“Heret para pegawai ini ke muka pengadilan. Para pegawai KPDNKK juga tahu tentang permainan ini atau mungkin juga Jaafar tahu, tetapi hanya mendiamkan diri atau beliau turut bersubahat membuat keputusan?,” kata Pembida tersebut yang telah memaklumkan isu ini kepada SPRM.

Sabahkini akan terus meyelongkar dan memburu beberapa individu yang ada kaitan dengan permainan ini dan membuat laporan susulan dan mendedahkan kegiatan haram mereka bagi mengelakkan subsidi 30 sen tidak diselewengkan bagi projek yang bernilai RM91 juta tersebut.

1 comment:

  1. Wahai En. James Kamiron,

    Saya menghargai akan keprihatinanmu untuk mencari sesuatu yang bermain di benakmu. Apapun saya terasa malu akan caramu. Mengapakah gambar tersebut yang dipaparkan? sepatutnya gambar P.O.S community drumming. Sebagai penulis, berhati-hatilah atas apapun yang dihidangkan untuk pembaca. Menyelongkar sesuatu kebenaran itu adalah salah satu sifat yang amat terpuji tetapi dengan meletakkan gambar insan lain... hehe... sukar untuk kukatakan kerana saya masih memiliki rasa hormat terhadap insan.

    Renungilah foto di atas... lihat insan-insan yang berada dalam foto dan lihat wang yang memenuhi meja tersebut. Adakah insan-insan tersebut terbabit dalam isu yang encik perkatakan itu? hahaha... gambar boleh menceritakan sesuatu. Oleh itu, berhati-hati.

    Rasuah itu sememangnya perlu dibanteras di mana jua berada namun jangan sampai memalukan insan yang menidakkan akan rasuah. Cari bukti yang sahih kiranya encik adalah penulis yang bertauliah.

    ... saya berasa hairan... foto ini sudah beradab lamanya dan isu yang diketengahkan adalah baharu... sungguh mencurigakan.

    ReplyDelete