Tuesday 6 December 2011

‘DARI PERALIHAN KE TRANSFORMASI’.



MENTERI Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mewakili Malaysia ke Persidangan Antarabangsa mengenai Afghanistan di Bonn, Jerman, kelmarin.

Persidangan itu diadakan tepat 10 tahun selepas berlangsungnya Persidangan Antarabangsa mengenai Afghanistan yang pertama di Bonn, Jerman pada Disember 2001.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, persidangan itu akan dipengerusikan Presiden Afghanistan Hamid Karzai, dengan Jerman sebagai hos yang bertemakan "Dari Peralihan Ke Transformasi".

Ia bertujuan menggembleng sumber serta kesinambungan usaha bersama yang diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menerokai dengan lebih luas kaedah-kaedah berkesan dalam menangani pelbagai isu di Afghanistan dan seterusnya menetapkan hala tuju negara tersebut.

Sebanyak 90 delegasi yang terdiri daripada 1,000 peserta merangkumi rakan antarabangsa Afghanistan, pihak serantau yang berkepentingan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa utama yang lain dijangka menghadiri Persidangan berkenaan.

Jemputan daripada Afghanistan dan Jerman kepada Malaysia untuk menyertai persidangan itu, jelas mencerminkan pengiktirafan penglibatan negara ini sebagai sebahagian daripada masyarakat antarabangsa yang menyokong dan menyumbang di Afghanistan selama ini.

Penglibatan Malaysia di persidangan tersebut adalah penting terutama sebagai rakan negara Islam yang telah menyumbang secara terus kepada usaha pembinaan semula Afghanistan, perdamaian dan integrasi semula, serta pengalaman sebagai negara sedang membangun yang boleh dimanfaatkan oleh Afghanistan.

Malaysia telah menghantar 40 ahli Kontinjen Perubatan (MALCON) yang termasuk doktor dan jururawat wanita di Wilayah Bamyan, untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan serta sokongan seperti perkhidmatan perubatan, pergigian dan penjagaan kesihatan kepada penduduk awam tempatan.

Kontinjen itu mula beroperasi pada Julai tahun lepas dan akan terus berada di Afghanistan sehingga 2014.

Pada persidangan itu, Anifah akan menyampaikan pandangan serta ulasan Malaysia terhadap tahap kemajuan pembangunan serta jalan ke hadapan bagi Afghanistan dan rakyatnya ke arah mencapai keamanan dan kestabilan untuk jangka panjang. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment