Wednesday 28 December 2011

GERAKAN 901 BAKAL CETUS DARURAT?



Oleh : AZMAN ARIFFIN

POLITIK menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat ini adalah taktik biasa yang digunakan UMNO. Paling selalu ialah politik perkauman, dengan cuba menimbulkan kemungkinan huru-hara akan berlaku jika kerajaan selain BN mengambil alih; sedangkan sudah terbukti di 5 negeri Pasca 2008, tidak ada apa pun berlaku, melainkan yang dicetuskan sendiri oleh mereka, iaitu rampasan kuasa di Perak.

Sekarang cubaan yang sama sekali lagi cuba dicetuskan dalam hal perhimpunan aman yang bakal diadakan Gerakan Membebaskan Anwar 901 (Gerakan 901) pada 9 Januari 2012; tarikh keputusan berkaitan perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zabidi Md Diah.

Perkara ini telah dimainkan di blog-blog pro UMNO dan ‘Blog Versi Cetaknya’ Utusan Malaysia melalui kolum Awang selamat. Sedikit mengenai ini, kenapa penulis katakan ‘Blog Versi Cetak’ bagi menggambarkan Utusan? Sama seperti blog, Utusan juga kelihatannya tidak terikat kepada etika kewartawanan dalam setiap penerbitannya; sama seperti blog yang bebas bercakap apa sahaja dengan sedikit kemungkinan dikena tindakan undang-undang.

Penulis tidak sama sekali merasakan gerakan besar-besaran itu boleh mencetuskan kekacauan, apatah lagi menimbulkan huru-hara sehingga menyebabkan kerajaan mengadakan perintah darurat. Itu hanya perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yang kita yakin akan didapati bersalah dan dipenjarakan.

Skrip sama yang berlalu pada tahun 1998 dahulu akan sekali diulang pada tarikh yang tersebut di atas nanti. Petanda kepada keadaan itu sudah jelas, sejelas air yang jernih.

Keputusan Mahkamah yang menjatuhi hukuman penjara dan rampasan harta kepada mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, tidak lebih dari cubaan untuk mematikan segala hujah yang menjurus kepada menuduh sistem keadilan yang diragui di Malaysia ini, jika Anwar nanti didapati bersalah.

Ia memang dibuat sebegitu bagi menayang kepada rakyat bahawa jika pemimpin UMNO sendiri boleh dihukum penjara, kenapa tidak pemimpin Pakatan seperti Anwar? Seperti yang telah banyak dijelaskan, rakyat bukan lagi berada dalam dunia yang terlitup oleh kongkongan media kawalan UMNO kerana langit kini lebih luas untuk segala pendapat masuk ke kiri dan kanan, telinga rakyat.

Yang mana itu saja boleh memberikan indikasi jelas bahawa memang ada sesuatu yang tidak kena dengan hukuman yang dikenakan ke atas Khir Toyo dan yang bakal dijatuhi kepada Anwar.

Hujah rekaan polis dan pendakwaraya serta Jabatan Kimia berhubung penemuan DNA Anwar di dalam dubur Saiful memang terlalu berat untuk ditolak hakim bicara. Sepanjang perbicaraan pula, barisan peguam bela Anwar menjadikan proses dan prosedur mendapatkan sampel DNA tersebut sebagai subjek utama untuk menimbulkan keraguan yang munasabah.

Natijahnya, jika hakim bicara membuat keputusan menerima hujah pasukan pembelaan mengenai prosedur memperolehi sampel DNA, maka beratus-ratus kes yang telah diputuskan hasil penemuan Jabatan Kimia sebelum ini akan dibuka untuk perbicaraan semula.

Mana mungkin ini berlaku kerana ia hanya akan menambahkan beban mahkamah, sudahlah kes sedia ada pun berlambak menanti penyelesaian. Maka itu penulis yakin, apa pun yang terjadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap didapati bersalah dan dihantar ke penjara dengan segera (tanpa menunggu keputusan rayuan).

Inilah yang dikatakan banyak proses meragukan dalam sistem keadilan kita. Keputusan dibuat bukan berdasarkan pertimbangan keadilan, tapi pertimbangan-pertimbangan lain yang tidak langsung kena mengena dengan tertuduh dan kes yang sedang dibicarakan.

Maka itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil keputusan menggerakkan ‘Gerakan 901’ ini bagi menyatakan kepada para pentadbir yang berkuasa bahawa rakyat marhaen di bawah tidak mudah dimomokkan dengan sandiwara sedemikian, bahkan akan bersama-sama dengan pemimpin hingga ke akhirnya.

Tidak sama sekali mahu mencetus kekacauan apatah lagi meranapkan negara sendiri seperti yang dimainkan para propaganda UMNO, melainkan diprovokasi oleh ‘Bala Tentera’ UMNO yang berselindung di sebalik uniform biru dan bertindak kononnya atas nama undang-undang.

Kepada penguasa-penguasa di atas, jika berani mengeluarkan arahan kepada polis untuk tidak menyentuh Anwar dalam perhimpunan Bersih 9 Julai (disebut dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2011), maka arahan sama (tidak mengganggu peserta perhimpunan) perlulah dikeluarkan kepada polis yang bertugas memantau peserta ‘Gerakan 901’ nanti.

No comments:

Post a Comment