Friday 9 December 2011

HARAMKAH DAP LETAK CALON DI KAWASAN MELAYU?



Oleh : AZMAN ARIFFIN

PERSOALAN sama ada DAP wajar atau tidak meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti kaum tersebut nampaknya menjadi berita utama beberapa media arus perdana negara kita. Tidak kurang juga yang memetik kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dari PAS berhubung persoalan tersebut.

Seperti biasa, penulis sentiasa ragu-ragu dengan kebenaran berita yang ditulis lebih lagi oleh media yang diketahui sangat condong atau menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional terutama apabila mereka memetik kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat – sama ada kenyataan tersebut disalah tafsir atau dipetik diluar konteks.

Tapi isu ini timbul dikala ada kebimbangan bahawa pola pengundian orang Melayu sudah tidak lagi menyebelahi Pakatan Rakyat berikutan dakwaan Pakatan Rakyat (terutama DAP) gagal membela nasib orang Melayu, mengambil contoh apa yang berlaku di Pulau Pinang, maka penulis merasakan persoalan itu memang ada kewajarannya.

Penulis melihat begini, pemimpin PAS kelihatannya terlalu takut dan tidak yakin dengan kekuatan sendiri, walhal PAS mempunyai asas dan tapak yang paling kukuh diantara komponen Pakatan Rakyat diperingkat akar umbi seperti mana yang dibuktikan dalam beberapa kempen pilihanraya kecil terdahulu.

PAS perlu sedar di kalangan orang Melayu, UMNO dan BN memainkan kempen perkauman yang pekat dengan menuduh DAP sebagai parti cauvanis cina, anti raja dan anti Islam. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, persepsi itu sudah menusuk tebal dikalangan orang Melayu, kecuali segelintir Melayu bandar yang lebih liberal dan terbuka pandangannya.

Sebagai sebuah parti untuk semua kaum, DAP memang tidak berat kepada mana-mana kelompok kaum seperti mana didakwa. Cuma kerana keengganan orang Melayu menyertai parti tersebut secara besar-besaran telah menyebabkan saf kepimpinan mereka dipenuhkan dengan kaum-kaum lain terutama Cina dan India.

Ini bagaimanapun tidak menjadikan DAP sebagai parti Cina tapi apa yang boleh penulis katakan bahawa DAP menjadi mangsa keadaan sebenarnya.

Lagipun, ini bukan kali pertama DAP bertanding dan meletakkan calon di kawasan Melayu. Dalam pilihanraya umum 2008, DAP meletakkan Abu Bakar Bin Lebai Sudin sebagai calonnya di Raub (54% Melayu) untuk menentang Menteri Pelancongan Datuk Dr. Ng Yen Yen. Walaupun tewas, Abu Bakar berjaya mengurangkan majoriti Dr. Ng kepada sebanyak 2,000 undi sahaja.

DAP juga telah mencalonkan Naib Pengerusi DAP Johor, Ahmad Bin Ton di Parlimen Tanjung Piai dan DUN Pekan Nenas Johor tetapi kalah. Kedua kawasan tersebut juga adalah kawasan majoriti Melayu.

Penulis melihat PAS tidak perlu gusar dengan perkembangan ini. Kalau benar DAP akan menambah calonnya di kawasan majoriti Melayu, pertukaran itu hanya akan berlaku di antara DAP dan PKR sahaja.

Lagipun berapa ramai sangat calon DAP sehingga mendatangkan gentar kepada PAS tu? Setakat yang penulis selidik dan kaji, besar kemungkinan hanya 9 orang calon sahaja, diketuai Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim, Zairil Khir Johari (Setiausaha Politik Ketua Menteri, Lim Guan Eng) dan beberapa orang lain yang memegang jawatan dalam DAP kebangsaan dan Negeri.

Di pengakhirannya, penulis menggesa agar kepimpinan PAS tidak terlalu cepat melatah dan menggunakan platform dalaman Pakatan Rakyat untuk menyuarakan sebarang rasa sangsi dan meleraikan segala persoalan.

Mencari media arus perdana yang sentiasa dahagakan skop-skop berita yang menjurus kepada perpecahan dalam Pakatan Rakyat untuk mengadu nasib, bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan akan menambah kepada kekusutan sedia ada.

No comments:

Post a Comment