Wednesday 7 December 2011

ISU HUDUD, TAKUTKAN BUKAN ISLAM



Oleh: AZMAN ARIFFIN

ISU hudud sehingga kini masih lagi menjadi perdebatan sama ada di antara parti kerajaan dan pembangkang mahupun sesama komponen dan pakatan masing-masing.

Walaupun pahit, mahu tidak mahu PAS harus menerima hakikat bahawa rakan sepakat PAS sendiri iaitu DAP adalah penentang tegar undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia. Namun, umum sedia maklum bahawa PAS sanggup memaafkan DAP atas alasan mereka tidak memahami Islam.

Oleh itu, apakah kewajarannya PAS menempelak Datuk Chua Soi Lek, Presiden MCA yang mengkritik hudud? Bukankah ini hanya menunjukkan yang tuduhan UMNO bahawa PAS mengamalkan dwi-standard dalam menangani isu-isu berkenaan Islam adalah benar belaka?

Jika DAP dimaafkan kerana mereka tidak faham Islam, maka pendirian yang sama juga harus gunapakai terhadap MCA. Menyerang MCA dalam isu ini serupalah dengan meludah ke muka sendiri.

Dalam PAS bertungkus lumus dan sanggup mengorbankan prinsip, termasuk bertolak ansur dalam soal Islam semata-mata untuk menjaga hati bukan Islam, adalah tidak wajar bagi PAS untuk menghentam Soi Lek secara keterlaluan kerana ia akan menjauhkan lagi masyarakat bukan Islam dari PAS dan juga PR.

Ingatlah, pengorbanan yang dilakukan PAS bukannya kecil. PAS terpaksa mengambil sikap acuh tidak acuh dalam isu murtad semata-mata untuk memastikan hati DAP tidak tersinggung. PAS terpaksa mengalah dalam isu arak dan judi walaupun sebelum ini isu ini menjadi peluru paling besar untuk menembak BN.

PAS juga terpaksa berlembut dalam isu Seksualiti Merdeka semuanya untuk memperlihatkan imej PAS yang baru yang lebih toleran, terbuka agar diterima oleh semua kaum dan golongan.

Malah PAS juga telah terpaksa menyokong penyebaran bible dalam Bahasa Melayu dan penggunaan nama Allah dalam kitab agama lain.

PAS melakukan semua ini, menelan ludah sendiri berkali-kali dan menebalkan muka bila isu-isu di atas ini dibangkitkan oleh BN, semuanya semata-mata untuk menarik kaum Cina dan India agar merasa selesa dengan PAS.

Sehingga kini, nampaknya strategi PAS ini berjaya membuka hati bukan Islam untuk menerima PAS sebagai rakan sepakat PR. Oleh itu, penulis tidak nampak kelebihannya bagi PAS untuk berpatah balik ke belakang dengan mempesarkan isu Soi Lek menghentam hudud.

Jika Soi Lek dihentam secara keterlaluan, kita hanya akan kembali menakutkan masyarakat bukan Islam terhadap PAS sekali gus menjadikan segala pengorbanan PAS demi politik selama ini menjadi sia-sia belaka.

No comments:

Post a Comment