Wednesday 21 December 2011

JANGAN GHAIRAH CALONKAN PROFESIONAL

Oleh : AZMAN ARIFFIN

KETIKA ini begitu heboh diperkatakan bahawa parti-parti komponen Pakatan Rakyat, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang sibuk mengenal pasti individu-individu berpotensi daripada golongan profesional untuk dinamakan sebagai calon mewakili parti tersebut dalam kempen pilihanraya akan datang.

Penulis difahamkan, antara nama yang disebut-sebut itu bukan terdiri daripada ahli parti pun.

Maklumat ini tidak sepatutnya mengejutkan kerana jika sejarah 2008 diambil kira, PKR turut mencalonkan beberapa individu daripada Parti Sosialis Malaysia untuk bertanding di atas tiket parti tersebut. Antara mereka ialah Dr. Nasir Hashim (ADUN Kota Damansara) dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj di Parlimen Sungai Siput.

Secara peribadi, penulis boleh melihat kewajaran itu (meletakkan calon dari kalangan profesional), tapi dalam masa yang sama penulis juga melihat potensi berlakunya perpecahan dalaman jika perkara ini tidak dibincangkan terlebih dahulu dengan pemimpin-pemimpin di peringkat cabang dan ranting parti.

Kepimpinan parti perlu melihat bagaimana berbezanya situasi sekarang jika dibandingkan dengan tahun 2008. Pada 2008, tidak ramai yang menjangka PKR akan beroleh kejayaan sebegitu besar, maka itu tidak ramai yang sanggup melepas jawatan masing-masing untuk bertanding dalam pilihanraya.

Tapi situasi sekarang berbeza, kemenangan besar PKR dan Pakatan Rakyat sehingga berjaya membentuk kerajaan dibeberapa buah negeri pada 2008, telah membuka mata banyak pihak yang dulu tidak begitu yakin akan menang jika pun dicalonkan.

Tidak hairan kenapa Pemilihan Nasional 2010 yang lepas menyaksikan persaingan yang cukup hebat dan sengit sehingga menyaksikan beberapa insiden yang tidak diingini berlaku di beberapa Cabang. Semua ini berpunca dari keinginan masing-masing menonjolkan potensi sebagai calon pilihanraya melalui jawatan yang dipegang di peringkat Cabang.

Cuba bayangkan apakah nanti situasinya jika kepimpinan tertinggi parti mengambil calon profesional dari luar untuk mewakili parti tersebut dan mengabaikan pemimpin tempatan di peringkat Cabang? Yang nyata akan timbul rasa tidak puas hati secara terang dan senyap yang boleh menjurus kepada undi protes.

Lagipun, benarkah dengan mempunyai ramai golongan profesional sebagai calon akan membantu kemenangan parti?

Penulis akui memang ada dikalangan profesional ini yang mampu memberikan kemenangan kepada parti sebelum ini tapi ada juga dari kalangan mereka yang bukan setakat tewas, malah menjejaskan nama baik parti dalam masa yang sama.

Untuk menjelaskan perkara ini, penulis ingin membuat sedikit imbasan ke atas satu peristiwa yang berlaku dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lepas bila seorang calon PKR di kerusi DUN Satok (yang juga seorang peguam) didapati mempunyai anak luar nikah di Semenanjung!

Hasil dari post mortem yang dijalankan, isu tersebut dikenalpasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon tersebut ditangan calon BN yang jauh lebih berusia.

Begitu juga halnya dengan beberapa calon lain dari golongan sama yang terlibat dengan isu-isu panas berkaitan dengan nilai kekayaan dan perkhidmatan yang mengecewakan rakyat.

Bagi penulis, PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya masih memerlukan golongan profesional sebagai calon parti dalam kempen pilihanraya umum yang akan datang, bagaimanapun ia perlulah terhad kepada jumlah tertentu sahaja. Keutamaan perlulah diberi kepada pemimpin dari peringkat akar umbi yang sudah terbukti kesetiaan dan komitmen kepada parti.

Kata kunci penulis ialah kesetiaan dan komitmen kepada parti dan perjuangannya. Penulis rasa dan ramai akan bersetuju, PKR tidak lagi mampu menghadapi keadaan Ahli Parlimen atau ADUN yang menang di atas tiket parti tetapi kemudiannya meninggalkan perjuangan parti di pertengahan jalan kerana terpesona dengan tarikan kebendaan.

Dalam hal ini penulis merujuk kepada ahli-ahli Parlimen dan ADUN PKR yang melompat menjadi ahli Parlimen Bebas seperti Zulkifli Nordin, Tan Tee Beng dan lain-lain.

Ironinya, majoriti daripada mereka juga terdiri daripada golongan profesional, antaranya ada yang menjadi peguam atau mempunyai ijazah undang-undang tetapi memilih kerjaya sebagai broker saham sebelum terjun ke dunia politik!

No comments:

Post a Comment