Saturday 3 December 2011

JENAMAKAN SEMULA BSN



PEMUDA Umno mencadangkan Bank Simpanan Nasional dijenamakan semula sebagai Bank Nasional yang akan menjadi platform kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat.

Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar yang mewakili Pemuda Umno membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di PWTC kelmarin berkata, langkah itu akan membolehkan rakyat menyedari jenama BN yang mencurahkan jasa dan bakti kepada mereka.

Katanya tindakan pembangkang mempersendakan BN sebagai ‘Barang Naik’ telah memberi impak yang kurang baik dan telah meresapi sebahagian rakyat Malaysia manakala usaha menjenamakan BN sebagai ‘Bela Nusa’ atau ‘Bina Negara’ pula kelihatan agak sukar diterima rakyat.

Jamawi berkata kerajaan boleh menyalurkan semua bantuan kepada rakyat melalui Bank Nasional seperti bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), warga emas, baitulmal, pencen, kebajikan, bantuan khas pelajar RM100 dan bantuan RM500 untuk keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah.

"Ini supaya rakyat merasai bahawa bantuan itu semuanya daripada kerajaan BN yang prihatin dan sentiasa membela rakyat," katanya.

Jamawi turut menempelak tiga negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang yang meluluskan belanjawan defisit cukup memalukan kerana mereka sebelum ini menghentam Belanjawan 2012 sebagai belanjawan defisit.

Menurutnya Kelantan memperoleh hasil lebih RM430 juta akan membelanjakan lebih RM770 juta manakala di Kedah dan Pulau Pinang yang masing-masing memperoleh hasil lebih RM550 juta dan lebih RM390 juta akan membelanjakan lebih RM1 bilion dan lebih RM930 juta.

Beliau berkata pendekatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam melaksanakan program bantuan barang subsidi di luar bandar diseragamkan.

"Anak muda di Sabah dan Sarawak mengeluh mengapa ada harga di Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang berbeza... jadi saya fikir harga barang subsidi ini perlu diselaraskan," katanya.(BERNAMA)

1 comment:

  1. Hai..institusi kewangan pun mau dipolitikkan..commonlah bro...mmg btl apa..saban hari barang naik(BN)...senang2 pergi supermarketkah..pasarkah..survey harga barang ok...

    ReplyDelete