Thursday 8 December 2011

KEPUTUSAN TUBUH RCI 'PROJEK IC' 2012



Oleh : KOW GAH CHIE

KERAJAAN akan memutuskan sama ada untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan Projek IC di Sabah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu akan dibuat hanya selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini mengemukakan laporan penuhnya tahun depan.

Liew berkata buat masa ini, kerajaan tidak akan membuat sebarang keputusan, walaupun laporan interim PSC dibentangkan minggu lalu.

Beliau berkata PSC masih perlu mengadakan empat lagi pendengaran atau inkuiri awam. Sesi pertama bermula hari ini di Kuching, manakala pendengaran terakhir akan diadakan pada 13 Januari tahun depan di Johor Baru.

Hanya, setelah selesai empat pendengaran itu, PSC akan menyediakan laporan penuh, kata Liew kepada media di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan laporan awal PSC supaya kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja sebagai langkah jangka panjang.

No comments:

Post a Comment