Monday 12 December 2011

KESIHATAN KELUARGA, KEUTUHAN NEGARA



LAWAT.…Kamarlin semasa melawat gerai pameran ubat-ubatan palsu semasa program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEUTUHAN negara amat bergantung penuh kepada keluarga dan masyarakat yang kukuh, sihat dan sejahtera.

Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi berkata, masyarakat mempunyai peranan penting dalam menjaga kesihatan mereka dan wajar mendapat maklumat yang tepat mengenai kesihatan; terutamanya untuk menghadapi apa-apa masalah perubatan dalam keluarga mereka.

Menurut beliau, semua pihak termasuk NGO perlu menanamkan kesedaran di kalangan orang ramai betapa pentingnya kesihatan bagi kesejahteraan hidup mereka.

“Penyebaran maklumat kepada masyarakat umum menerusi pameran seperti ini yang menggunakan alat pandang dengar yang termoden, adalah satu langkah yang paling sesuai dan berkesan sekali,” katanya ketika berucap merasmikan program Kem Kesihatan dan Derma Darah ajuran panel kesihatan Klinik Weston di Dewan Sri Dayang, kelmarin.

DIHARGAI…Kamarlin menerima cendera kenangan dari Pengerusi Penganjur Mohamad Haji Abu Bakar selepas merasmikan program tersebut.

Hadir sama Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi Panel Kesihatan Kilinik Kesihatan Weston Mohammad Haji Abu Bakar.

Tambah Kamarlin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang, usaha yang dilakukan oleh Panel Kesihatan Klinik Kesihatan Weston menganjurkan program tersebut merupakan usaha yang perlu diteruskan kerana selain menjadi pusat sumber ilmu terutamanya, dalam aspek penjagaan kesihatan kepada masyarakat, ia juga menjadi satu cara pendidikan kesihatan keluarga yang bernas dan yang akan memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat umum.

Dalam perkembangan lain, Kamarlin juga turut mengingatkan masyarakat di kawasan itu agar mengamalkan gaya hidup sehat dengan menitik beratkan soal kesihatan diri dan persekitarannya.

Menurutnya, ini boleh dilakukan dengan bersenam, tidak merokok, mengurangkan makanan yang membawa risiko kepada kesihatan diri seperti gula, lemak dan lain-lain.

“Dari aspek kemasyarakatan penduduk setempat juga digalakkan untuk mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekitar kampung bagi mengelak serangga yang membawa penyakit membiak,“ tambah Kamarlin.

No comments:

Post a Comment